KUALA LUMPUR: Tanah di Kampung Sungai Baru bukan berstatus Melayu untuk Pertanian (MAS) seperti didakwa segelintir pihak, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.
Beliau berkata, semakan awal mendapati kawasan berkenaan tidak tergolong dalam kategori MAS, namun perkara itu kini dalam proses perbicaraan di mahkamah untuk pengesahan muktamad.
“Setakat yang kita tahu, tanah itu memang bukan MAS. Bagaimanapun, segala pembuktian telah dibawa ke mahkamah untuk ditentukan,” katanya pada sidang media selepas melawat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Cempaka, hari ini.
Zaliha menegaskan, meskipun status tanah berbeza daripada MAS, kerajaan tetap komited memastikan hak serta kepentingan penduduk Melayu di Kampung Sungai Baru terpelihara, selaras dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Terdahulu, Persatuan Kebajikan Pemilik Harta Kampung Sungai Baru menegaskan kawasan itu bukan tanah MAS, sebaliknya pajakan 99 tahun berdasarkan perjanjian jual beli dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) sejak 1971.