Tan Sri Pemegang Konsesi Disiasat SPRM, Kediaman Mewah, Kuda, Alkohol RM3 Juta Disita

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menyita enam kediaman mewah dan sebidang tanah lot milik seorang pemegang konsesi lebuh raya bergelar Tan Sri, dipercayai hasil penyelewengan dana sukuk pembinaan lebuh raya di Lembah Klang.

Menurut sumber, nilai keseluruhan sitaan terbaru ini dianggarkan RM12 juta, melibatkan hartanah yang digeledah di sekitar ibu negara, hari ini.

Turut mengejutkan, SPRM menemui seekor kuda mewah bernilai ratusan ribu ringgit dipercayai dibeli menggunakan dana yang sama.

Sebelum ini, dalam satu operasi berasingan, SPRM turut menyita aset bernilai RM32 juta milik individu yang sama, meliputi tas tangan berjenama, barang kemas, kenderaan mewah, jam tangan eksklusif, wang tunai dan setor alkohol mewah bernilai RM3 juta.

Setor berkenaan dipercayai berkait dengan aktiviti penggubahan wang haram.

SPRM juga memanggil Tan Sri berkenaan dan isterinya untuk diambil keterangan hari ini, namun difahamkan Tan Sri tidak hadir atas alasan kesihatan.

Sumber menyatakan SPRM akan memanggil antara 30 hingga 50 saksi bagi membantu siasatan.

Pihak berkuasa juga sedang mengenal pasti dan menjejak aset milik pasangan itu di dalam dan luar negara.

Menurut kenyataan Bahagian Komunikasi Strategik SPRM, semua aset disita untuk siasatan lanjut mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) 2001

BBerkaitan

Latest articles