KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) sudah mengadakan perjumpaan bersama ibu bapa dua pemain bola tampar perempuan bawah 14 tahun Melaka yang ditampar jurulatih, semalam.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata pertemuan itu adalah untuk mendapatkan maklum balas ibu bapa pelajar itu berkaitan insiden yang menimpa anak mereka.
Beliau menegaskan, bahawa pihaknya memandang serius isu terbabit kerana melibatkan keganasan dan kebajikan pelajar.
“Concern (kebimbangan) kita sangat besar berkenaan isu ini, dan keutamaan kita adalah keselamatan serta kebajikan pelajar tersebut.
“Kita (KPM) dah jumpa ibu bapa pelajar untuk dapatkan maklum balas dan kita tidak akan bertolak ansur soal keganasan terutamanya terhadap pelajar kita,” katanya.
Fadhlina berkata demikia kepada pemberita ketika ditemui selepas sesi lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Kebun, dekat sini, hari ini.
Dalam pada itu, katanya, KPM menerusi Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka juga sudah melaksanakan sesi kaunseling terhadap dua remaja berkenaan selain turut turun berjumpa ibu bapa mereka.
Sementara itu, ketika ditanya adakah KPM akan membuat laporan polis berkenaan isu terbabit, Fadhlina berkata, pihak kementerian boleh melaksanakan siasatan menerusi bahagian intergriti dan tatatertib.
“Kita masih lagi menyiasat, tak semestinya kita tunggu laporan polis. Kita boleh siasat sebab kita ada bahagian integriti dan tatatertib,” katanya.
Terdahulu video memaparkan tindakan jurulatih sebuah pasukan bola tampar menampar pemainnya tular di laman media sosial.