Tampar pemain bawah 14 tahun: KPM siasat untuk tindakan tatatertib

Kementerian Pendidikan (KPM) akan meneruskan siasatan bagi tujuan tatatertib, insiden seorang jurulatih menampar dua pemainnya pada satu kejohanan bola tampar yang rakamannya tular dalam media sosial.

KPM dalam kenyataan hari ini memaklumkan tindakan sewajarnya akan diambil serta memandang serius terhadap isu yang dilaporkan berkenaan insiden itu.

“Satu perjumpaan dengan ibu bapa murid yang terbabit akan dilaksanakan untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan laporan itu.

“KPM juga akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) jika ada laporan polis dibuat mengenai insiden terbabit,” katanya.

KPM sentiasa komited untuk memastikan keselamatan dan kebajikan murid sentiasa menjadi keutamaan.

Susulan insiden, Persatuan Bola Tampar Malaysia (MAVA) mengambil tindakan tegas apabila menggantung sementara jurulatih pasukan Melaka Bawah 14 Tahun (B14) wanita yang tular kerana menampar dua pemainnya.

MAVA dalam kenyataan semalam berkata, pihaknya akan menubuhkan jawatankuasa siasatan bagi menyiasat insiden itu segera.

MAVA juga memaklumkan buat masa ini jurulatih itu digantung daripada membabitkan diri dalam semua aktiviti bola tampar kebangsaan hingga siasatan selesai.

Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh turut membidas tindakan seorang jurulatih yang dirakam menampar pemainnya ketika perlawanan.

Klip video tular di media sosial itu menunjukkan jurulatih terbabit menampar dua pemain wanitanya ketika Kejohanan Remaja B-14 di Kota Tinggi, Johor pada 14 hingga 16 Disember lalu.

Hannah berkata, beliau sudah menghubungi Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan mereka sedang mengumpul lebih banyak maklumat berhubung insiden itu.