Tampal Pelekat Bendera Israel, Pasangan Suami Isteri Kena Reman

KUALA LUMPUR: Sepasang suami isteri direman sehari bagi membantu siasatan kes menampal pelekat bendera Israel di sebuah premis makanan segera di Kajang, semalam.

Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan pasangan berusia 20-an itu ditahan di Kajang ketika melakukan perbuatan itu.

“Bagi kesalahan menampal pelekat, suspek boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Lapangan Terbang (KLIA) di sini hari ini, menurut Berita Harian.

“Mereka juga dikesan positif dadah yang boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya.”

Mengulas lanjut, polis mengesan tujuh kes khianat menampal pelekat bendera Israel dan menconteng premis makanan segera dengan perkataan jelik, sejak Selasa lalu.

Katanya, empat daripada kes terbabit dikesan di Sungai Buloh manakala dua di Petaling Jaya dan satu di Kajang.

“Kita syaki perbuatan di Petaling Jaya dan Sungai Buloh dilakukan suspek sama berdasarkan bentuk tulisan yang sama.

“Polis akan menyiasat sama ada pasangan suami isteri ini terlibat dalam kes yang berlaku di Petaling Jaya dan Sungai Buloh,” katanya.

Polis memberi amaran kepada orang ramai agar jangan fanatik berkait isu Palestin hingga membelakangkan undang-undang dan mengugat ketenteraman.

BBerkaitan

Latest articles