KUALA LUMPUR: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin didesak untuk menjelaskan sebab keengganan gabungan itu menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan kerajaan.
Pengarah Komunikasi Angkatan Muda Keadilan (AMK) PKR, Haziq Azfar mempersoalkan sama ada penolakan tersebut berkaitan dengan keengganan Muhyiddin mengisytiharkan hartanya.
“Adakah beliau menolak kerana tidak mahu mengisytiharkan harta? Adakah PN enggan menahan diri daripada mengeluarkan kenyataan berbaur kebencian dan hasutan berkaitan isu bangsa serta agama?
“Persoalan-persoalan ini perlu dijawab demi kepentingan negara dan rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, Muhyiddin menjelaskan bahawa PN menolak MoU berkenaan kerana syarat yang ditetapkan kerajaan dianggap terlalu ketat dan tidak adil.
Menurutnya, perjanjian itu seolah-olah memaksa PN menyerahkan segala-galanya kepada kerajaan hanya untuk memperoleh peruntukan.
Mengulas lanjut, Haziq menyifatkan alasan yang diberikan oleh Muhyiddin sebagai dangkal dan tidak berasas.
“PN seharusnya menggunakan ruang yang ada untuk mengemukakan cadangan pindaan atau terma melalui rundingan, tetapi ini tidak berlaku.
“Keputusan menolak MoU tanpa alasan yang jelas dan konstruktif hanya menimbulkan keraguan terhadap tujuan sebenar tindakan tersebut,” katanya.
Menurut Haziq, tindakan Muhyiddin menolak MoU secara mentah-mentah juga boleh dianggap sebagai satu bentuk penolakan terhadap prinsip ketelusan.
“Sikap ini turut menimbulkan persoalan mengenai integriti dan keberanian beliau untuk bertanggungjawab, terutama dalam isu pengisytiharan harta,” tambahnya.
Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusoff mendedahkan bahawa Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dijangka menerima peruntukan untuk kawasannya selepas kerajaan bersedia mempertimbangkan permohonannya.