Takut Dimarahi Suami Barangan Kemas Hilang, Wanita Buat Laporan Polis Palsu

KUALA LUMPUR: Polis menyiasat seorang suri rumah yang membuat laporan palsu mendakwa dirinya disamun dua suspek bersenjatakan pisau sehingga mengalami kerugian sebanyak RM7,000 di Kampung Hutan Nangka, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Besut Supt Azamuddin Ahmad@Abu berkata, wanita berusia 31 tahun itu membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah pada 3.39 petang semalam.

“Berdasarkan laporan, pengadu mendakwa barang kemasnya bernilai RM7,000 telah dilarikan dua suspek bermotosikal setelah dirinya ditahan dan diacukan pisau dalam kejadian di tempat sunyi pada 3.10 petang itu.

“Selepas disiasat, kejadian itu tidak berlaku dan pengadu sebenarnya telah meminjamkan barang kemas tersebut kepada rakannya namun dia tidak dapat dihubungi. Pengadu kemudian membuat laporan kononnya disamun kerana takut dimarahi suaminya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata siasatan dibuat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana memberi maklumat palsu dengan niat menyebabkan seorang penjawat awam menggunakan kuasanya yang sah di sisi undang-undang yang mendatangkan bencana kepada orang lain.

Azamuddin berkata wanita itu boleh dipenjara sehingga enam bulan atau dengan denda tidak lebih RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

“Polis memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak membuat laporan palsu yang boleh mengakibatkan tindakan undang-undang diambil,” katanya. – BERNAMA

BBerkaitan

Latest articles