JOHOR BAHRU: Tindakan seorang janda menyuruh dua anaknya pulang ke kampung kononnya untuk bermalam di sana rupa-rupanya mempunyai niat tersembunyi bagi memberi ruang kepada kekasihnya datang bermalam di rumah.
Namun, taktik wanita berusia lingkungan 40-an itu terbongkar apabila rumahnya diserbu penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) tengah malam Khamis selepas menerima aduan daripada penduduk kampung.
Ketika serbuan dilakukan, wanita berkenaan didapati bersama seorang lelaki berstatus duda berusia dalam lingkungan 50-an.
Menurut kenyataan JAINJ, ketika pemeriksaan dilakukan, rumah tersebut gelap dan hanya dibuka selepas lima minit diketuk oleh penguat kuasa.
“Wanita berkenaan membuka pintu dalam keadaan berbaju T dan berseluar panjang. Ketika diarahkan menyalakan lampu, kami menemui seorang lelaki turut berada di ruang tamu,” katanya.
Pemeriksaan lanjut mendapati dua bilik yang dikatakan milik anak-anak wanita itu kosong, manakala katil di bilik utama dalam keadaan berselerak.
Ketika ditanya tujuan kehadirannya, lelaki terbabit memberi alasan datang “sekadar makan mi segera”.
“Alasan itu tidak munasabah, kalau sekadar mahu makan mi segera, di rumah sendiri pun boleh,” kata JAINJ.
Siasatan lanjut mendapati kegiatan pasangan itu telah lama disedari penduduk kampung.
Mereka sebelum ini sudah menasihati wanita berkenaan namun tidak diendahkan, menyebabkan aduan rasmi dibuat kepada pihak berkuasa agama.
Difahamkan, setiap kali mahu berjumpa kekasihnya, wanita tersebut akan menghantar anak-anaknya yang masih bersekolah menengah ke rumah datuk mereka tidak jauh dari situ.
“Kegiatan itu berlaku seminggu sekali atau dua kali. Anak-anaknya tahu perbuatan ibunya, namun tidak mampu berbuat apa-apa,” katanya lagi.
Kedua-dua mereka ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 kerana disyaki berkhalwat, sebelum dibawa ke balai polis berhampiran untuk tindakan lanjut.










