Takiyuddin Minta Penyokong PAS Bertenang, Hormat Undang-undang

KUALA LUMPUR: Susulan penahanan Menteri Besar Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor awal pagi tadi, seluruh penyokong PAS diminta bertenang dan menghormati undang-undang.

Gesaan itu dibuat Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam satu kenyataan ringkas pagi ini.

“PAS mengikuti dengan cermat perkembangan kes melibatkan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, Menteri Besar Kedah, yang dilaporkan telah ditahan oleh pihak PDRM untuk didakwa di mahkamah hari ini.

“PAS menyarankan semua pihak, khususnya para ahli dan penyokong, supaya bertenang dan menghormati proses perundangan,” katanya.

Terdahulu, Muhammad Sanusi ditahan sepasukan polis kira-kira pukul 3 pagi tadi di bilik penginapannya di sebuah hotel di ibu negara.

Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu ditahan di bawah Seksyen 4(1)(A) Akta Hasutan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak dipercayai bagi menghadapi pendakwaan di Mahkamah Selayang pagi ini.

Penahanan itu berkaitan dengan ceramahnya minggu lalu yang menimbulkan kontrovesi selepas mendakwa Sultan Kedah tidak akan melantik individu seperti Datuk Seri Amirudin Shari sebagai menteri besar.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada semalam juga menganggap kenyataan Muhammad Sanusi dalam satu ceramah sebagai menghina instiusi diraja.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, Sultan Sharafuddin beranggapan kenyataan Muhammad Sanusi juga mempertikaikan kewibawaan baginda memilih menteri besar.

BBerkaitan

Latest articles