Tak wajib pakai pelitup muka di luar bangunan mulai 1 Mei

PUTRAJAYA: Pemakaian pelitup muka tidak lagi wajib di luar banguan, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin hari ini.

Dalam sidang media beliau berkata, pemakaian pelitup muka masih diwajibkan di dalam bangunan, termasuk gedung beli-belah dan pengangkutan awam.

“Pemakaian pelitup muka adalah wajib apabila berada di dalam bangunan (indoor) dan di dalam pengangkutan awam termasuk e-hailing.

“Namun pemakaian pelitup muka di luar bangunan (outdoor) dan kawasan terbuka adalah atas pilihan (optional) tetapi amat digalakkan kerana pelitup muka mampu mengurangkan penularan jangkitan,” katanya dalam sidang media secara maya hari ini.

Khairy berkata, pelitup muka boleh ditanggalkan di kawasan tertutup mengikut beberapa situasi, antaranya semasa melakukan senaman, sekiranya berseorangan dalam suatu ruang, ketika sedang makan, minum, berucap dan membuat persembahan.

Katanya, pemakaian pelitup muka terutamanya di dalam bangunan dan pengangkutan awam masih lagi penting untuk melindungi diri serta orang di sekeliling, terutamanya yang berisiko tinggi seperti warga emas, kanak-kanak dan individu “immunocompromised”.

“Manakala bagi keperluan pelitup muka di kawasan terbuka tidak diwajibkan selepas mengambil kira risiko penularan jangkitan yang rendah dalam keadaan di mana ventilasinya adalah baik.

“Walau bagaimanapun, KKM menggalakkan agar pemakaian pelitup muka di luar bangunan terus diamalkan terutamanya apabila, berada di kawasan ramai orang dan sesak seperti bazar Ramadan, pasar malam, stadium,” katanya.

Ia termasuk semasa bersama individu yang bergejala seperti demam, batuk dan selsema, berisiko tinggi, serta ketika melakukan aktiviti bersama orang yang berisiko tinggi seperti warga emas dan kanak-kanak.

Sementara itu, Khairy berkata, keperluan penjarakan fizikal di dalam prosedur operasi standard (SOP) MKN terbitan 1 April 2022 juga telah disemak semula.

Beliau berkata, mengambil kira semua aktiviti telah dibenarkan dengan penggunaan 100% kapasiti ruang, maka penjarakan fizikal antara individu atau kumpulan tidak diperlukan.

“Namun begitu, penjarakan fizikal digalakkan dalam keadaan tidak memakai pelitup muka,” tambahnya.

BBerkaitan

Latest articles