Tak Timbul Isu Boikot MCA, MIC Tak Tanding PRN

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) menghormati pendirian dua kompenannya, MCA dan MIC yang tidak mahu bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos depan, selain akan membawa pendirian itu ke mesyuarat Majlis Dewan Tertinggi BN pada 10 Julai depan.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberitahu meskipun tidak bertanding, MCA dan MIC sudah berjanji untuk membantu calon dari BN mahupun Pakatan Harapan (PH).

“BN menghormati keputusan mereka dan mereka akan terus kerjasama dalam kempen PRN,” katanya pada sidang media hari ini.

Menjawab pertanyaan pemberita, Ahmad Zahid menolak dakwaan bahawa kedua-dua parti itu bertindak memboikot PRN di enam negeri itu.

“Boikot? Mereka punya alasan tersendiri,” tambahnya ketika ditanya mengenai kenyataan Setiausaha Agung MCA, Chong Sin Woon yang mengumumkan parti itu tidak bertanding dalam PRN enam negeri akan datang.

Sin Woon berkata, MCA membuat keputusan itu selepas mengambil kira “situasi politik semasa”.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Zahid berkata, kerusi yang telah diberikan kepada kedua-dua parti itu akan diserahkan kembali kepada BN.

“Kalau (MCA dan MIC) tak nak, kita akan ambil (kerusi) ia akan letak bawah BN,” jelas Ahmad Zahid.

BBerkaitan

Latest articles