Tak Suka MP Alih Sokongan, Bersatu Kena Pinda Perlembagaannya

KUALA LUMPUR: Pindaan terhadap perlembagaan parti perlu dibuat sekiranya Bersatu mahu menghalang ahli-ahli parlimennya menyokong kerajaan semasa.

Perkara itu dinyatakan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, selain menambah partinya sendiri bertindak menggubal beberapa perlembagaan kerana sudah meramalkan situasi sedemikian apabila undang-undang antilompat parti kali pertama digubal.

Sehubungan itu, daripada terus mengkritik, Bersatu patut mencontohi DAP dalam meminda perlembagaannya, tambah Anthony.

“Selepas menyedari kelemahan undang-undang antilompat parti, DAP memutuskan untuk meminda perlembagaannya,” katanya kepada pemberita.

DAP, pada tahun lalu meminda perlembagaannya supaya wakil rakyat yang tidak mengikut ketetapan parti dalam isu asas, secara automatik akan kehilangan keahlian mereka.

Parti itu berbuat demikian sebagai perlindungan daripada “kelompongan” dalam undang-undang antilompat parti di mana Ahli Parlimen yang dipecat oleh parti tidak perlu mengosongkan kerusi mereka.

Baru-baru ini, empat Ahli Parlimen Bersatu iaitu Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Azizi Abu Naim (Gua Musang) dan Zahari Kechik (Jeli), mengisytiharkan sokongan mereka kepada kerajaan.

Minggu lalu, Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan undang-undang antilompat parti sebagai lemah dan menggesa ia dikaji semula.

Beliau mendakwa kelemahan kritikal itu boleh dieksploitasi oleh parti politik.

Beberapa hari lalu, bekas menteri kesihatan Khairy Jamaluddin berkata Bersatu menolak klausa antilompat parti untuk mengisytiharkan kerusi kosong jika Ahli Parlimen menentang pendirian parti atau gagal mematuhi whip parti di Dewan Rakyat.

Peruntukan itu kemudian dikeluarkan daripada rang undang-undang yang dibentangkan di Dewan Rakyat.

Dalam pada itu Anthony berkata, Muhyiddin perlu menyalahkan diri sendiri atas kelemahan undang-undang.

Beliau berkata, semasa perbincangan beliau dengan Datuk Seri Hamzah Zainudin, yang merupakan wakil kerajaan pada masa itu, jelas Muhyiddin tidak berminat untuk memasukkan klausa itu dalam rang undang-undang.

Katanya, beliau juga telah memetik kes dipecat secara “tidak adil” oleh Umno selepas kenyataannya mengenai 1MDB.

“Beliau berhujah bahawa, dalam kesnya, peruntukan itu adalah tidak adil baginya untuk mengosongkan kerusi itu.”

BBerkaitan

Latest articles