Tak Setuju PRN Johor Hanya Lakonan PN, PH – Nur Jazlan

KUALA LUMPUR: Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed meluahkan rasa jeliknya dengan kritikan dan kenyataan pimpinan Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) berhubung pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.

Ujarnya pelbagai siri kenyataan yang dikeluarkan oleh kedua-dua gabungan politik itu tidak sama sekali dengan realiti sebenar yang berlaku, apatah lagi pihak-pihak terlibat berusaha keras memburuk-buruk imej UMNO dan mewujudkan persepsi buruk rakyat terhadap parti itu.

Tambah Nur Jazlan, PN dan PH sedar akan perbuatan dan tindakan mereka sepanjang Johor di bawah pentadbiran Datuk Hasni Mohammad sejak 28 Februari 2020.

“Macam-macam berlaku dan apa yang boleh saya katakan, kerajaan negeri di bawah pimpinan Hasni tidak boleh bergantung kepada ihsan dan ugutan mereka untuk terus mentadbir negeri Johor.

“Ini kerana Kerajaan Negeri Johor yang dipimpin oleh Hasni bukan sahaja berdiri atas nama parti, lebih daripada itu Hasni memerlukan sokongan kukuh untuk mentadbir dan mengelola sebuah negeri yang menjaga kebajikan dan kesejahteraan rakyat serta ekonominya perlu digerakkan sepantas yang boleh.

“Atas dasar ini, pembubaran DUN adalah tepat. Kita pulangkan semula mandat kepada rakyat untuk memilih pemimpin bagi menerajui Johor selepas ini,” katanya memetik temubualnya bersama MalaysiaGazette.

Bekas Ahli Parlimen Pulai itu juga percaya

rakyat Johor pada hari ini mampu menilai pencapaian PH dan Bersatu yang pernah mengemudi Kerajaan Negeri Johor selepas Barisan Nasional (BN) tumbang pada Pilihan Raya Ke-14.

Selepas PRU14, Johor dipimpin oleh Allahyarham Datuk Osman Sapian (12 Mei 2018 hingga 14 April 2019) dan kemudian Datuk Dr Sahruddin Jamal (14 April 2019 – 28 Februari 2020).

Nur Jazlan berkata kelemahan PH dan PN untuk mentadbir kerajaan negeri terbukti dalam tempoh dua tahun ia berganti Menteri Besar.

“Apa yang pasti sepanjang tempoh itu Johor rugi dalam banyak perkara. Bila Johor rugi, sudah tentu yang terjejas adalah rakyat. Jadi, sampai bila nak biar keadaan jadi macam ni.

“Bila dua tahun bertukar menteri besar bermakna negeri tidak stabil. Tahap produktiviti Johor jatuh pada kedudukan kelapan.

”Bila tidak stabil pelabur mana nak datang Johor? Sedangkan Johor memiliki segala-galanya yang pelabur perlukan. Siapa yang rugi?

“Lantaran itu, PRN adalah terbaik buat rakyat Johor, waima apa pun dakwaan dan tohamah yang dilemparkan pembangkang, juga Bersatu. Bagi UMNO Johor, rakyat berhak memilih kepimpinan Kerajaan Negeri Johor,” ujarnya.

Sehubungan itu Nur Jazlan yakin, rakyat akan mengembalikan mandat kepada UMNO dan BN berdasarkan trek rekod 60 tahun pemerintahan lalu.

UMNO juga buat masa ini fokus untuk mendapat mandat kukuh daripada rakyat bagi mengembalikan kegemilangan semula negeri Johor yang diraih sebelum PRU14.

“Bagi UMNO, jika mandat kukuh, usaha-usaha membangunkan negeri dan merancakkan ekonomi boleh dilaksanakan dengan cepat. Kesannya limpahannya adalah untuk rakyat,” tambahnya.

BBerkaitan

Latest articles