Tak Setuju Lantikan Ahli Keluarga, Namun Rafizi Harap Soal Nurul Izzah Bawa Nilai Tambah

KUALA LUMPUR: Budaya nepotisme adalah tidak wajar diamalkan dan perlu dielakkan pada masa depan, tegas Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli.

Rafizi, yang juga Menteri Ekonomi menyatakan beliau tidak bersetuju mana-mana pemimpin dalam kerajaan melantik saudara terdekat menjawat jawatan tertentu.

Malah beliau sedar kritikan yang dilemparkan berhubung pelantikan Nurul Izzah Anwar sebagai penasihat kanan ekonomi dan kewangan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga bapanya.

Beliau juga sedar kritikan yang sama dilemparkan terhadap Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul yang melantik anaknya Mohammed Iqbal sebagai Pegawai Tugas-Tugas Khas.

“Saya ingat beberapa perkara ini untuk masa akan datang kepada mana-mana kerajaan perlu elakkan. Cuma dalam keadaan Nurul Izzah dan Iqbal, lantikan itu sudah dibuat.

“Dia tidak membabitkan wang rakyat, yang kita harapkan sekarang mereka perlulah buktikan mereka bawa nilai tambah.

“Saya yakin mereka ada peranan masing-masing,” katanya ditemui media selepas hadir Rumah Terbuka Tahun Baru Cina di Pandah Indah malam tadi.

Rafizi berharap pemimpin yang terbabit dalam membuat keputusan sedemikian wajar mengambil perhatian terhadap pandangan rakyat.

Sementara itu, Rafizi berkata, Nurul Izzah dan Iqbal harus membuktikan bahawa mempunyai nilai untuk dilantik ke jawatan berkenaan.

“Di peringkat PKR, kita harap kita move on dan cabaran itu ada pada Nurul Izzah dan Iqbal untuk membuktikan mereka ada nilai tambah dalam keadaan mereka tidak mengambil sebarang wang rakyat. Sudah pasti saya faham sentimen itu,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles