KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, menyanggah gesaan Bekas Menteri Pendidikan , Dr Maszlee Malik agar orang politik tidak dilantik sebagai menteri pengajian tinggi dan pendidikan selepas PRU16.
Mohd Puad berkata, ahli akademik tidak semestinya menjadi orang paling sesuai untuk menerajui Kementerian Pendidikan atau Kementerian Pengajian Tinggi.
“Kalau orang akademik tetapi tidak ada political will (iltizam politik) pun tak guna juga. Yang penting idea dan komitmen,” kata Puad di Facebook.
Beliau turut mengkritik Maszlee, yang juga bekas pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan bekas menteri kewangan serta bekas pegawai bank yang merujuk kepada Tengku Zafrul Abdul Aziz.
“Ada orang bukan politik seperti ahli akademik dan ‘banker’ bila jadi Menteri, dia lagi kuat main politik. Lebih parah bila tidak berjiwa rakyat.”
Semalan, Maszlee menerusi ucapannya dalam seminar dasar awam di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, jawatan menteri pengajian tinggi dan pendidikan itu seharusnya dilantik dalam kalangan pendidik kerana mereka lebih mengetahui “isi hati” dan hala tuju kementerian berkenaan.
Dakwa Puad, Maszlee ketika menjawat jawatan menteri pendidikan, beliau kurang memberi tumpuan terhadap sekolah di kawasan pendalaman khususnya di Sabah.
“Ini kurang diberi perhatian oleh Maszlee masa dia di KPM. Tidak nampak Maszlee ke sampai ke sekolah pendalaman 3. Untuk ke sana dia perlu tidur dua malam di rumah panjang,” katanya.
Beliau pada masa sama turut menggesa peruntukan yang lebih besar disalurkan untuk sekolah luar bandar, khususnya di Sabah dan Sarawak, dalam Bajet 2023 – yang akan dibentangkan pada 24 Feb.
Dalam pada itu, Mohd Puad Puad berharap menteri pendidikan baharu, Fadhlina Sidek lebih cepat belajar tentang struktur dan isu utama pendidikan dalam kementeriannya.