Tak Sedih Tak Jadi Calon, Noh Terkilan Dituduh Tubuh Bersatu Tanjong Karang

TANJONG KARANG: Fitnah yang mengaitkan dirinya hendak menubuhkan Bersatu Tanjong Karang menyebabkan Tan Sri Noh Omar digugurkan sebagai calon PRU15.

Bercakap di sidang media Pelancaran Jentera BN Parlimen Tanjong Karang, hari ini, Noh berkata, perkara itu diketahuinya daripada mulut Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sendiri dalam satu pertemuan, beberapa jam sebelum pengumuman calon BN di ibu pejabat UMNO di Menara Dato Onn, Selasa lalu.

“Dalam perbincangan itu, saya digambarkan tidak mengikut arahan parti, seolah-olah saya ini pengkhianat parti dan sebab itu saya tak layak jadi calon.

“Bila bincang, itulah isu-isu yang sampai kepada Presiden UMNO, malah saya dituduh pula nak buka Bersatu Bahagian Tanjong Karang.

“Kalau saya nak masuk Bersatu dah lama, tak payah nak buka Bersatu di sini. Saya ini orang parti, apa yang parti arahkan, saya akan ikut, laksanakan,” katanya.

Semalam, Noh menyerahkan 21 dari 22 watikah calon BN Selangor dalam satu majlis di Shah Alam, satu watikah yang tidak diserahkan adalah kerusi Parlimen Tanjong Karang.

Sejurus selepas majlis tersebut, Noh dalam sidang medinya akur namanya tidak disenaraikan sebagai calon untuk mempertahankan kerusi Tanjong Karang.

Noh dalam masa yang sama melahirkan rasa sedih dengan sikap berdiam diri Ahmad Zahid sedangkan memintanya memberi tempoh dua hari untuk membincangkan semula keputusan calon kerusi yang disandangmya sejak enam penggal lalu.

Tambah Noh, dalam perjumpaan itu, Pengerusi BN Selangor itu sedia mengangkat sumpah laknat dengan menjunjung Quran bahawa semua berita yang sampai ke pengetahuan Ahmad Zahid itu fitnah semata-mata.

“Saya bila dengar perkara itu (fitnah), saya rasa tak tahan, sampai saya kata kepada Presiden, saya sanggup letak tangan di atas Quran, saya akan buat sumpah laknat.

“Kalau betul lah saya ini difitnah, pengkhianat parti atau tidak ikut arahan parti, Allah akan laknat saya,” katanya lagi.

BBerkaitan

Latest articles