Tak Sangka Dapat RM3,000 Sebulan Hasil Jual Minyak Masak Terpakai

Ramai yang mengambil mudah tentang penggunaan minyak masak terpakai.

Setelah digunakan untuk memasak, rata-rata pengguna membuang terus minyak masak berkenaan sama ada ke dalam singki atau longkang.

Sebenarnya tindakan ini hanya mengundang masalah seperti sinki dapur tersumbat sekaligus turut menjadi punca kepada sistem pembentungan tersumbat.

Apa yang perlu anda buat adalah – kumpulkan minyak masak terpakai itu di dalam satu bekas atau botol dan jualkannya kepada pembeli minyak masak terpakai.

Sebenarnya, tak ramai yang tahu bahawa

menjual minyak masak terpakai boleh menghasilkan pendapatan lumayan.

Mungkin kerana tiada pendedahan yang meluas berkenaan penggunaan minyak masak terpakai, walhal ia boleh dikitar semula untuk dijadikan bahan seperti biodiesel, selain boleh digunakan untuk membuat lilin, pencuci, sabun serta makanan haiwan.

Perkara ini dikongsi oleh pekerja kilang elektronik Mohd Rosdi Abu Bakar, 48, yang menetap di Butterworth dan menjalankan perniagaan minyak masak terpakai secara sambilan sejak enam bulan lepas.

“Sebelum ini saya hanya lihat kawan yang buat jual minyak masak terpakai ini. Ada yang sudah 20 tahun lakukan perkara ini.

“Saya cuba tetapi separuh masa sahaja iaitu pada setiap hari Ahad. Pada hari itu saya akan ambil minyak masak terpakai ini dari pelanggan dan beli dengan mereka,” katanya memetik Bernama.

Apa yang tidak disangka-sangka oleh Mohd Rosdi adalah, dia mampu menjana pendapatan sehingga RM3,000 setiap bulan walaupun ‘pekerjaan’ itu hanya dibuat secara sambilan iaitu sewaktu beliau cuti dari kerja.

Menurut Mohd Rosdi, masak terpakai yang dikumpulnya kira-kira setan sebulan dibeli oleh syarikat Airil Global Resources yang beroperasi di Kulim, Kedah.

Berkongsi tentang pembabitannya dalam perniagaan itu, Mohd Rosdi berkata beliau memperolehi pelanggan menerusi iklan untuk membeli minyak masak terpakai di laman Facebook.

“Ramai yang menghubungi dan bertanya memang boleh ke jual ke minyak masak terpakai ini. Tidak dinafikan ramai yang tidak tahu minyak masak yang sudah diguna ini boleh dijual semula dan ada kegunaannya.

“Saya pergi sendiri ke rumah pelanggan yang mahu menjual minyak masak mereka. Setakat ini, pelanggan saya adalah dari kalangan suri rumah, peniaga restoran, kedai makan dan peniaga pasar malam, ” katanya sambil menambah, pelanggannya adalah dari seluruh Pulau Pinang, Sungai Petani dan Padang Serai, Kedah.

Ujar Mohd Rosdi, harga bagi minyak masak terpakai yang diambil dari pelanggannya adalah antara RM1.50 untuk satu kilogram hingga 49 kilogram(kg), RM1.60 bagi 50kg ke atas dan RM1.80 untuk 100kg ke atas.

Melihat kepada potensi pendapatan jualan minyak masak terpakai ini, Mohd Rosdi mahu mendapatkan 100 pelanggan tetap yang terdiri daripada kalangan peniaga.

Sasaran tersebut akan membolehkan beliau meraih pendapatan sehingga RM9,000 sebulan dan jika tercapai, beliau berhasrat mahu menumpukan sepenuh perhatian terhadap perniagaan berkenaan.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Perhutanan Dan Alam Sekitar Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Mohd Yusoff Ishak berkata, faktor harga belian minyak masak terpakai yang agak murah juga menjadikan ia tidak menarik perhatan ramai.

“Contohnya, harga belian minyak masak terpakai yang ditawarkan sekitar RM1 sekilogram mungkin kelihatan kurang menarik minat orang ramai. Selain itu, sistem sokongan serta kemudahan untuk orang awam yang berminat mengumpul dan menjual minyak masak terpakai masih belum meyakinkan.

“Ini termasuklah ketidakseragaman daripada segi operasi kitar semula yang masih lagi dilihat sebagai aktiviti bersifat kecilan dan murahan. Isu piawaian mutu biodiesel berdasarkan American Biodiesel Standard ASTM D6751 juga menjadi punca tidak ramai pemain industri yang berani menceburi bidang ini secara telus,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, apabila teknologi penukaran minyak masak terpakai menjadi semakin ringkas dan lebih ramai pengusaha terlibat dalam industri minyak masak terpakai, cabaran tersebut boleh diatasi dan kesedaran orang awam boleh dipertingkatkan lagi.

Antara manfaat utama sering didengari berhubung kegunaan minyak masak terpakai ini adalah ia boleh dijadikan biodiesel.

Menurut Mohd Yusoff, minyak masak terpakai lazimnya akan dikumpul dan ditapis melalui beberapa peringkat sebelum melalui proses kimia untuk dijadikan bahan api kenderaan atau biodiesel.

“Minyak masak terpakai bertapis akan melalui proses kimia yang dikenali dengan nama transesterifikasi yang dilaksanakan dengan bantuan pelbagai katalis (pemangkin) bersifat asid, alkali dan enzim dalam proses homogeneous atau heterogeneous (satu proses dalam fasa fizikal-kimia yang sama serta fasa fizikal-kimia yang berlainan).

“Proses penukaran minyak masak terpakai kepada biodiesel adalah proses yang rumit, memakan kos dan bahan api,” katanya.

Malah UPM turut membuat penyelidikan dan berjaya membangunkan minyak masak sebagai biodiesel bagi kegunaan mesin dan jentera kenderaan.

Menurut Mohd Yusoff, teknologi di UPM adalah hasil kajian selama lima tahun oleh penyelidik Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul.

“Sebagai makluman, enjin diesel tidak memerlukan pengubahsuaian bagi menggunakan biodiesel memandangkan hanya 10 peratus biodiesel diperlukan untuk dicampurkan dengan 90 peratus diesel (B10) sebelum digunakan,” katanya.

Sehubungan itu, orang ramai yang berminat boleh menjual minyak masak terpakai ke loji pepandu di Kampus UPM Serdang pada harga RM1 sekilogram.

“Secara amnya, 100 liter minyak masak terpakai boleh menghasilkan 90 liter biodisel dan 10 liter gliserol dan prosesnya memakan masa selama enam jam,” jelasnya.

Berita Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Advertisment

Terkini