Tak Salah Lantik Ahli Keluarga Jika Layak – Mufti

Tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melantik anaknya, Nurul Izzah sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri dilihat tidak salah.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, bukan satu kesalahan bagi seorang pemimpin atau ketua kerajaan melantik anggota keluarga sekiranya berkelayakan, mempunyai integriti serta mempunyai kepakaran.

Menurutnya, selain itu, dengan kepakaran yang ada, Nurul Izzah juga dilihat dapat memudahkan urusan negara yang akan dilaksanakan.

“Bagi saya tidak salah seorang pemimpin atau ketua kerajaan melantik anggota keluarganya sebagai pembantu atau penasihat dalam hal-hal kewangan, ekonomi dan sebagainya. Asalkan individu yang dilantik itu mempunyai kelayakan dan kepakaran yang dikehendaki di samping ada integriti diri, malah ini boleh memudahkan lagi urusan yang mahu dilaksanakan.

“Sebagai seorang agamawan, saya cenderung melihat isu ini daripada perspektif Islam. Dalam menilai sesuatu tindakan atau amalan, sebahagian kita terkeliru antara matlamat dan cara untuk mencapai matlamat. Banyak masa dihabiskan untuk berpolemik tentang cara untuk mencapai sesuatu matlamat, sedangkan matlamat itu sendiri dipinggirkan malah mungkin diabaikan sama sekali,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Wan Salim berkata, sebagai warganegara Malaysia, rakyat sepatutnya berbangga dengan individu yang sanggup berkhidmat untuk negara dan rakyat dengan sukarela tanpa menuntut sebarang ganjaran.

“Kadang-kadang saya pelik apabila mendapati sebahagian masyarakat memprotes seseorang yang berkhidmat untuk negara secara percuma. Mereka sebaliknya boleh menerima seorang lain yang memperoleh habuan tanpa menyumbang sebarang perkhidmatan.

“Bagi saya, sikap sedemikian menunjukkan kepada kehilangan pertimbangan akal yang waras. Keadaan ini boleh disamakan dengan kisah umat Nabi Luth AS yang mengusir golongan beriman dari kampung halaman mereka dengan alasan golongan tersebut adalah orang-orang yang menyucikan diri daripada kejahatan,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles