MELAKA: Seramai lapan pelajar sebuah kolej vokasional di negeri ini yang disyaki terlibat dalam kes memukul seorang pelajar minggu lalu telah direman bagi membantu siasatan sebelum dikenakan tindakan penggantungan sementara oleh pihak institusi.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka, Datuk Rahmad Mariman memaklumkan, kes berkenaan kini berada sepenuhnya di bawah bidang kuasa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memandangkan ia melibatkan institusi pendidikan di bawah kementerian itu.
Menurut beliau, kejadian tersebut dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati suspek terhadap mangsa, namun siasatan terperinci masih dijalankan oleh pihak berkuasa.
“Memang berlaku kes berkenaan dan semua tindakan disiplin serta siasatan ketika ini dikendalikan oleh KPM. Jabatan Pendidikan Negeri hanya berperanan memberi bimbingan dari aspek prosedur,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Rahmad menjelaskan, kesemua lapan pelajar terbabit telah direman sebelum digantung sementara bagi tempoh maksimum dua minggu sementara siasatan diteruskan.
Bagaimanapun, katanya, tiada tindakan buang sekolah diambil setakat ini, namun terdapat pelajar yang mengemukakan permohonan untuk berpindah ke institusi lain, tertakluk kepada kelulusan Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (BPLTV), KPM.
Sebelum ini, seorang pelajar kolej berkenaan dilaporkan menjadi mangsa serangan sekumpulan pelajar di institusi itu.
Difahamkan, bapa mangsa telah membuat laporan polis dan kes tersebut masih dalam siasatan pihak polis serta KPM.










