MELAKA: “Dia pendiam, tak pernah buat hal…” Itu reaksi jiran kepada pelajar sekolah berusia 17 tahun yang kini menjadi suspek utama pembunuhan kejam ibu dan abangnya di rumah mereka di Taman Rambai Mutiara, Bukit Rambai, semalam.
Menurut jiran, Yuliyani Md Tuin, 34, remaja berkenaan disifatkan sebagai anak yang baik dan tidak pernah bersikap kasar sejak mereka berjiran tiga tahun lalu.
“Sesekali bila terserempak, dia hanya senyum. Tapi kami tak pernah berbual. Saya langsung tak sangka dia boleh bertindak sejauh ini,” katanya ketika ditemui malam tadi.
Remaja terbabit dipercayai bertindak di luar kawalan akibat tekanan perasaan dan dendam terpendam, selepas sering dipaksa belajar oleh ibunya, seorang guru Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, serta abangnya yang berusia 21 tahun.
Menurut Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar, siasatan mendapati suspek merancang pembunuhan itu dan menggunakan pisau lipat sepanjang 20 sentimeter yang dibawa dalam beg sekolahnya.
“Mangsa ditikam berulang kali di leher dan badan. Abangnya maut ketika cuba menyelamatkan ibu mereka, manakala adik bongsu cedera parah,” katanya dalam sidang media semalam.
Yuliyani mengakui bahawa sebelum ini dia kerap mendengar pertengkaran dari rumah mangsa, terutama sejak ibu tunggal itu kehilangan suaminya awal tahun ini.
“Tapi pergaduhan mereka hanya berlaku dalam rumah, tak pernah bergaduh di luar. Sebab itu bila nampak ambulans dan polis pagi semalam, saya benar-benar terkejut,” katanya.
Pelajar lelaki itu ditahan dalam keadaan bingung di hadapan rumah sekitar jam 5 pagi dan telah mengaku membunuh dua ahli keluarganya, selain cuba membunuh adik bongsunya.
Polis turut menemui barang kes dalam beg sekolah suspek dan mengesahkan dia bebas daripada pengaruh dadah atau alkohol.
Suspek akan direman hari ini untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.