Tak Pernah Desak Putus Hubungan Dengan BERSATU, UMNO Minta PAS Hormati Pendirian Parti

KUALA LUMPUR: Sepertimana UMNO menghormati keputusan PAS untuk bekerjasama dengan BERSATU dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, maka parti itu juga harus menerima ketetapan UMNO yang memilih tidak mahu bekerjasama dengan parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu,

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan partinya tidak pernah sekali menekan PAS supaya menjauhi BERSATU.

Malah katanya, setiap parti politik mempunyai dasar serta pendekatan tersendiri dan mereka mempunyai kebebasan melaksanakannya.

“Kita menghormati ketetapan kepimpinan PAS untuk bersama BERSATU dalam PRN Melaka. Maka kita berharap pemimpin PAS juga menghormati ketetapan parti UMNO tidak bersama dengan BERSATU.

“Sesungguhnya UMNO tidak pernah berhasrat mendesak atau mengugut PAS supaya tidak bersama BERSATU.

“Setiap parti politik ada dasar serta perancangan tersendiri dan bebas merencanakannya. Bagi UMNO setiap dasar dan perencanaan politiknya tidak pernah tersasar dari landasan agama, bangsa dan negara,” katanya menerusi Facebook, malam tadi.

Pada PRN Melaka, UMNO dan PAS yang menandatangani piagam Muafakat Nasional (MN) bertembung di tujuh kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Kuala Linggi, Taboh Naning, Durian Tunggal, Bukit Katil, Duyong, Serkam dan Merlimau.

Beberapa pemimpin di dalam PAS turut mengkritik UMNO berhubung pertembungan berkenaan, sehingga ada yang mahu melihat parti itu tewas dalam PRN Melaka.

Sementara itu, Ahmad Zahid mengakui baru-baru ini UMNO membangkitkan ketetapan yang pernah dibuat oleh Jawatankuasa Induk Muafakat Nasional (MN) sewaktu menghulurkan tawaran kerjasama dalam PRN Melaka.

Katanya, keputusan Jawatankuasa Induk MN itu dibuat pada mesyuarat 19 Oktober 2020 dan 18 November 2020.

“Perkara itu diungkapkan semula dalam agenda meneruskan persefahaman bersama PAS bagi berdepan PRN Melaka.

“Walaupun UMNO sedari awal telah bersedia untuk mengharungi PRN Melaka dengan keadaan apa sekali pun di bawah panji BN,” katanya.

Jelas Ahmad Zahid, asas persefahaman dengan PAS iaitu berpandukan kepada prinsip PAS akan menggunakan lambang partinya sendiri.

Bagaimanapun katanya, pimpinan PAS nampaknya tidak berminat memenuhi ketetapan MN itu kerana mahu bersama BERSATU.

“Meskipun ia bermakna PAS perlu menggunakan logo Perikatan Nasional (PN) seperti yang dikehendaki BERSATU ke atas mereka,” katanya.

Latest articles

Related articles

spot_img