PUTRAJAYA: Kerajaan tidak mahu rakyat terus menunggu sehingga Belanjawan 2027 untuk menikmati manfaat baharu, sebaliknya enam ikhtiar segera akan dilaksanakan mulai 1 September ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah berkenaan dirangka bagi menangani tekanan kos sara hidup selain memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi dapat dirasai secara langsung oleh rakyat.
Antara langkah utama ialah meningkatkan kelayakan subsidi BUDI 95 daripada 200 liter kepada 300 liter sebulan, yang dijangka memberi manfaat kepada lebih 16 juta pengguna.
Bagi pemilik kenderaan diesel jenis pikap dan jip yang memenuhi syarat pula, kelayakan subsidi itu dinaikkan sehingga 400 liter sebulan.
Anwar berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Majlis Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2026, hari ini.
Langkah kedua membabitkan peningkatan peruntukan penyelenggaraan bagi semua jenis sekolah sebanyak 50 peratus, daripada RM1 bilion kepada RM1.5 bilion untuk tahun 2027.
Menurut beliau, tambahan peruntukan itu tidak akan membezakan aliran pendidikan, sebaliknya turut meliputi Sekolah Kebangsaan, SJKC, SJKT, sekolah agama, tahfiz, pondok dan pendidikan khas.
“Kementerian Pendidikan akan mengatur gerak kerja turun ke lapangan seawal bulan depan,” katanya.
Dalam masa sama, kerajaan memperkenalkan Program AI untuk Rakyat khusus bagi golongan belia berusia antara 18 hingga 30 tahun.
Melalui ikhtiar ketiga itu, seramai 100,000 belia yang berjaya melengkapkan modul ditawarkan langganan percuma selama tiga bulan bagi aplikasi kecerdasan buatan (AI) terkemuka termasuk Gemini Enterprise, Wonderclip, MuleRun dan aplikasi AI tempatan.
Bagi mempercepat transformasi digital dalam sektor kesihatan awam, ikhtiar keempat pula menyaksikan peruntukan RM1 bilion disediakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Dana berkenaan akan digunakan untuk memperkukuh sistem digital kesihatan, termasuk pelaksanaan Rekod Perubatan Elektronik (EMR) serta meningkatkan capaian internet di 150 hospital dan lebih 2,000 klinik kesihatan awam.
Anwar berkata, usaha itu antara lain bertujuan mengurangkan masa menunggu pesakit ketika mendapatkan perkhidmatan kesihatan kerajaan.
Sementara itu, kerajaan turut mengambil langkah meringankan beban operasi Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dengan menaikkan ambang pengecualian e-Invois daripada RM1 juta kepada RM3 juta setahun.
Langkah itu menjadi ikhtiar kelima kerajaan, khususnya bagi membantu perusahaan kecil berdepan kos pematuhan dan operasi.
Ikhtiar keenam pula memberi tumpuan kepada peniaga kecil menerusi tambahan RM1 bilion kepada dana pembiayaan mikro, menjadikan jumlah keseluruhan pembiayaan itu RM6 bilion bagi 2026.
Kerajaan pada masa sama memperkenalkan Geran Sejahtera Madani berjumlah RM200 juta yang dikhususkan kepada penjaja, peniaga pasar malam serta ibu yang menjalankan perniagaan dari rumah.
Anwar menegaskan, kesemua langkah berkenaan mencerminkan pendekatan kerajaan untuk memastikan pertumbuhan ekonomi diterjemahkan kepada manfaat nyata kepada rakyat.
Katanya, dana yang diperoleh daripada hasil negara, termasuk berbilion ringgit aset yang dirampas berkaitan kegiatan haram, perlu dikembalikan kepada rakyat terutama dalam sektor pendidikan dan kesihatan.
“Pertumbuhan ekonomi dan hasil yang diperoleh negara mesti kembali kepada rakyat, khususnya dalam bidang yang memberi kesan langsung kepada kehidupan mereka,” katanya.










