Tak Perlu Pertikai Titah Agong, BN Sokong Usul Percaya PM

KUALA LUMPUR: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan kesemua 30 Ahli Parlimen gabungan itu akan menyokong usul percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat pada 19 Disember depan.

Ujarnya tindakan itu diambil untuk menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi menyokong pembentukan kerajaan baharu ini.

“BN akan menyokong usul undi percaya kepada Perdana Menteri agar keabsahan Perdana Menteri dimuktamadkan dan pihak yang cuba mempertikai akan senyap.

“Walaupun ada pihak mengatakan ini langkah berisiko Perdana Menteri baharu namun inilah proses demokrasi yang perlu dilalui dan BN akan terus menyokong penuh sebagai tanda menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu mana-mana pihak perlu lagi mempertikaikan keputusan pelantikan Anwar selaku Perdana Menteri ke 10, sekaligus menghormati keputusan yang telah ditetapkan Yang di-Pertuan Agong.

“Tidak perlu lagi pihak mempertikaikan keputusan pelantikan oleh Yang di-Pertuan Agong dan Istana Negara. Janganlah umpama rumah siap, pahat berbunyi.

“Marilah kita sama-sama menjunjung titah dan menghormati perkenan pelantikan oleh Yang di -Pertuan Agong berdasarkan perlembagaan negara.

“Kita perlu bergerak ke depan dan bersama-sama membina negara ke arah kemakmuran dan kestabilan,” katanya.

Menurut Ahmad Zahid, BN mulanya membuat keputusan untuk menjadi pembangkang, kemudian berkecuali dan akhirnya menyerahkan 30 kerusi untuk pertimbangan kebijaksanaan Yang Dipertuan Agong untuk menentukannya.

Malah, katanya, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) juga turut mengambil pendirian untuk menjadi pembangkang namun Al-Sultan menitahkan agar semua Ahli Parlimen BN menyokong kerajaan perpaduan.

“Maka BN menjunjung titah tersebut dan meletakkan kepentingan negara mengatasi kepentingan individu dan parti. BN tidak mahu berpolitik sepanjang masa dan ingin memfokuskan masalah ekonomi rakyat yang perlu ditangani bersama.

“Sebelum itu, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO bersetuju untuk menyertai Kerajaan Perpaduan atau apa-apa bentuk kerajaan lain yang dimasyhurkan Yang di-Pertuan Agong,” katanya lagi.

BBerkaitan

Latest articles