KUALA LUMPUR: Semua pihak perlu menghormati dan menjaga maruah wanita dengan sebaik-baiknya, demikian tegas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun.
Ujarnya, jenayah rogol atau perbuatan berunsur seksual tidak sepatutnya dijadikan bahan jenaka apatah lagi disiarkan dalam program rangkaian televisyen tempatan di negara ini.
“Betul. Jangan pernah jenakakan rogol mahu pun perbuatan-perbuatan yang berunsur seksual yang lain. Hormati wanita kerana wanita juga punya maruah dan kehormatan yang perlu disanjung oleh semua,” katanya ketika dalam ciapan terbaharu di Twitter hari ini.
Isu jenaka berkaitan rogol tercetus selepas seorang pelakon lelaki menceritakan watak yang digemarinya sepanjang menjadi pelakon.
Pelakon berkenaan, ditemubual dalam satu program di stesen televisyen bersama beberapa pelawak.
Netizen meluahkan rasa berang apabila pelakon itu menceritakan secara jelas adegan rogol yang dilakonkan bersama seorang pelakon wanita
Terdahulu, pelakon wanita, Sharifah Amani dalam ciapan di akaun Twitternya juga mempersoalkan tindakan sebuah stesen televisyen yang menyiarkan program yang didakwa menjadikan jenayah rogol sebagai bahan jenaka.
“Menjijikkan, tidak sopan, mengecewakan. Ini akibatnya bila tak hormat kerjaya, rakan sekerja dan sesama manusia. Saya tidak faham bagaimana ini dibenarkan, dari penggambaran hingga penayangan rancangan ini.
“Tidak ada yang melihat betapa teruknya (program ini). Bagaimana ia dibenarkan disiarkan di televisyen arus perdana,” tuisnya.