SUNGAI BULOH: Melihatkan kepada sokongan yang diterima sepanjang berkempen, calon Barisan Nasional (BN) Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin percaya akan berlaku ‘ribut taufan’ perubahan sokongan terhadap parti itu pada 19 November ini.
Tegasnya lagi tidak mustahil kerusi yang telah dimenangi Pakatan Harapan (PH) selama tiga penggal kembali menjadi milik BN pada pilihan raya kali ini.
“Pada pilihan raya yang lepas saya anggap ini sebagai satu misi mustahil tetapi apabila saya jumpa orang Sungai Buloh dan malam ini tengok sambutan, maka tiada apa yang mustahil di Sungai Buloh.
“Kita mampu bawa perubahan tersebut. Mari bawa angin perubahan. Biarlah 19 November ia menjadi ribut taufan di Sungai Buloh.
“Saya sudah rasai angin perubahan,” katanya ketika berucap di hadapan ratusan pengunjung di Uptown Kota Damansara.
Terdahulu Khairy bersama Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri berjumpa dengan pengundi di kawasan itu.
Lebih lanjut, Khairy kesal dengan kegagalan wakil rakyat sebelum ini dalam menyelesaikan isu-isu berbangkit rakyat setempat.
“Tiga penggal banyak isu yang tidak dapat diselesaikan di sini, yang datang ini bukan calon biasa, yang datang sekarang Khairy Jamaluddin.
“Saya sudah bentangkan perancangan saya bukan janji bulan dan bintang tapi perancangan untuk orang Sungai Buloh.
“Kalau boleh hari ini saya nak mula bekerja.
“Saya akan jaga Sungai Buloh dengan baik, saya nak jadi Ahli Parlimen terbaik untuk Sungai Buloh dan atas sokongan tuan tuan dan puan puan saya mahu jadi Perdana Menteri dari Sungai Buloh,” katanya lagi.