Tak Mustahil PN Selangor Copy Paste Manifesto PH-BN

KUALA LUMPUR: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari percaya Perikatan Nasional (PN) tiada tawaran terbaik kepada rakyat negeri ini dalam kempen mereka hendak memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN).

Malah beliau tidak menolak kemungkinan pihak lawan akan meniru akujanji PH dan Barisan Nasional (BN) di Selangor yang dibentangkan malam tadi.

Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor berkata demikian selepas membentangkan Tawaran Kita Selangor: Lima Tekad untuk Lima Tahun di Shah Alam, malam tadi.

“Saya pasti, ucapan saya ini atau butiran ucapan ini akan ditilik oleh pihak lawan kita dalam PRN ini.

“Kemudian, mereka akan cuba tiru apa yang kita lakukan, mereka akan cuba ubah sikit apa yang kita lakukan kerana realitinya daripada perjalanan politik mereka ini hanya copy paste.

“Sebagaimana parti Bersatu mengaku mewakili suara Melayu, tetapi mereka sebenarnya meniru daripada perjuangan dan UMNO serta Barisan Nasional (BN),” katanya.

Amirudin juga mengingatkan para pengundi supaya tidak terpengaruh dengan laungan perjuangan Bersatu yang tiada asal usul, sebaliknya hanya kelahiran semula perjuangan parti dan gabungan politik terdahulu.

Katanya, kegagalan itu terbukti apabila kerajaan tebuk atap yang mereka ambil alih dengan perbuatan pemimpinnya melompat parti hanya mampu bertahan selama 18 bulan.

“Begitu juga PN adalah copy paste kepada BN, tetapi perpaduan yang disemai antara PH dengan BN hari ini telah mengumpulkan 19 parti, mendapat majoriti suara dari seluruh pelusuk Malaysia.

“Kita ada parti yang berasaskan kepada kaum tertentu. Ada parti multiracial, Parti Sabah dan Parti Sarawak, sedangkan PN hanya diwakili parti minoriti dan parti copy paste,” katanya.

Menurut Amirudin, sejak PH mengambil alih Selangor pada PRU 2008, pimpinannya memulakan langkah reformasi demi memastikan dasar, institusi dan pentadbiran kerajaan negeri melaksanakan agenda perubahan.

Katanya, bermula dengan agenda merakyatkan ekonomi Selangor yang sekarang dikenali sebagai Iltizam Selangor Penyayang, dalam lima tahun saja kerajaan negeri membelanjakan RM2.3 bilion, iaitu suatu jumlah yang tidak mampu dicapai atau dilakukan mana-mana negeri dan juga mana-mana permuafakatan mahupun perikatan.

“Sebab itu saya yakin dengan tekad dan juga hala tuju ini kita telah buktikan kita mampu membawa kemakmuran dan kestabilan kepada rakyat dalam negeri ini.

“Malah, kita juga turut buktikan dengan reformasi institusi, dalam penggal pertama lagi dengan melakukan reformasi terhadap Dewan Undangan Negeri, kita mahu meletakkan kerajaan ini sentiasa berada dalam landasan dan jalan yang betul.

“Kita melakukan ini tanpa menafikan Selangor telah membangun dan dimajukan oleh pimpinan terdahulu, yang rata-ratanya daripada BN. Mereka membawa kemakmuran ekonomi kepada rakyat,” katanya.

Namun, apabila berlaku perubahan dan peralihan politik pada tahun 2008, PH menerusi kumpulan induknya telah memuncakkan pembangunan itu dengan rencana dan agenda baru.

“Kita membangunkan industri aeroangkasa dan industri rel. Ini semua telah berjaya menyambung kemajuan negeri dan kita menyambung kerja baik yang ditinggalkan oleh BN puluhan tahun yang lepas.

“Lebih-lebih lagi sekarang ini kita dalam agenda perpaduan, PH-BN yang mempunyai tradisi dan sejarah membangunkan negeri ini akan meneruskan Lima Tekad untuk Lima Tahun dengan agenda ekonomi yang direncana dalam Rancangan Selangor Pertama,” ujar beliau.

BBerkaitan

Latest articles