BAGAN DATUK: Secara sinis, Pengerusi Barisan Nasional Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai seorang yang mempunyai banyak wang selepas berikrar tidak akan mengambil gaji sebagai perdana menteri sekiranya berjaya menjawat jawatan tersebut.
Ahmad Zahid juga berkata tawaran yang dilakukan oleh Anwar juga sebagai ‘baik’.
Namun Ahmad Zahid menasihatkan mana-mana individu yang menjadi perdana menteri tidak akan mengambil langkah seperti yang dijanjikan oleh Anwar.
“Itu satu tawaran yang baik dan saya harap mana-mana perdana menteri tidak akan melakukan perkara yang sama kerana mungkin dia lebih banyak duit berbanding orang lain,” katanya selepas menghadiri majlis Ramah Mesra Bersama Masyarakat Telegu di Kuil Sri Venkateswara.
Beberapa hari lalu, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) mengisytiharkan enggan mengambil gaji sebagai perdana menteri jika mereka menang PRU15 dan beliau dilantik ke jawatan itu.
Langkah itu diumumkan Anwar kerana ingin bersolidariti bersama rakyat Malaysia yang berdepan dengan peningkatan kos sara hidup.