Tak Dicalon, Mohd Rafiq Umum Letak Jawatan Naib Presiden Bersatu?

KUALA LUMPUR: Perebutan kerusi di Parlimen Tangga Batu antara Bersatu dan PAS menjadi punca spekulasi peletakan jawatan Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen sebagai Naib Presiden Bersatu.

Beliau dijadual membuat pengumuman penting mengenai kedudukannya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dalam satu sidang media khas hari ini.

Walaupun tiada pengesahan rasmi mengenai kandungan sidang media berkenaan, namun ia dipercayai berkaitan namanya yang tidak disenaraikan sebagai calon bagi kerusi Parlimen Tangga Batu.

Namun, sejak petang tadi tular dakwaan dalam kalangan individu tertentu mengatakan bekas Pengerusi Perikatan Nasional Melaka dan Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Melaka itu akan keluar parti sekaligus melepaskan jawatannya sebagai Naib Presiden.

Kerusi Parlimen Tangga Batu dikatakan menjadi rebutan antara PAS dan Bersatu yang sebelum ini disandang Rusnah Aluai daripada PKR yang turut diumum calon parti itu pada PRU-15.

Pada PRU15, PAS dikatakan mahu meletakkan calonnya, Pesuruhjaya PAS Negeri, Zulkifli Ismail yang juga merupakan Yang di-Pertua PAS Kawasan Tangga Batu.

Susulan itu, timbul beberapa spekulasi mendakwa tindakan PAS yang juga rakan sekutu Bersatu di dalam PN kurang disenangi bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput itu kerana turut mahu bertanding di kerusi berkenaan.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 20 November lalu, Mohd Rafiq yang bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas memperoleh 3,976 undi sekali gus tewas kepada calon Barisan Nasional (BN), Datuk Abdul Razak Abdul Rahman yang mendapat 6,052 undi.

BBerkaitan

Latest articles