KUALA LUMPUR: Pengerusi UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Ghani menegaskan cubaan menghalang pertandingan di dalam parti hanya akan menyemarakkan rasa tidak puas hati dalam kalangan ahli.
Bahkan, situasi ini juga akan menyebabkan semua pihak di dalam parti saling bersengketa.
Menerusi sesi wawancara UMNO Online, Ahli Parlimen Titiwangsa itu percaya demokrasi yang sebenar wujud dengan setiap pihak menggalakkan persaingan yang sihat, seterusnya menyingkirkan persengketaan apabila pertandingan selesai.
Johari berkata, sekiranya suasana ini berlaku, tidak mustahil ikatan di dalam UMNO akan semakin kukuh.
“Budaya jangan (bertanding) sini jangan (bertanding) sana tak boleh dah. Kalau iya pun orang ikut, tapi dalam hati dia tak ikut. Ada cerita di belakang. Lagi sakit hati,” ujarnya.
Johari, yang juga bekas Menteri Kewangan mengimbau pengalaman pesaing UMNO yang menjalankan pemilihan sebelum PRU15, dan menghasilkan prestasi yang lebih baik.
“Sebelum kita nak berdepan PRU15, kita tukar perlembagaan untuk tunda pertandingan 18 bulan. Kita tambah lagi selepas PRU.
“Tengok PKR, DAP, PAS, mereka jalan dulu. Mereka bergasak juga. Akhirnya apa jadi? Pakatan Harapan bertanding menang 82 kerusi. PAS pula 49 daripada 74 kerusi.”
Johari menepis kebimbangan apabila rakyat melihat pertembungan dalam parti.
“Rakyat pun faham. Itu parti punya hal,” ujarnya lagi.
Tegas Johari, membenarkan demokrasi berlangsung dengan sebaiknya tidak akan menyebabkan pergaduhan dan perpecahan.
“Yang bergaduhnya kalau kita tipu undi. Akhirnya dia tak puas hati, bila tiba pilihan raya, itu yang dia jadi marah.
“Pemimpin datang dan pergi. Kita dah tukar berapa banyak dah.”