Tak Ada Modal Tuduh Saya Terlibat Dalam Pendakwaan Sanusi

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi menegaskan beliau tidak ada kena-mengena dengan pendakwaan dan tindakan terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Sebaliknya Anwar menegaskan pembangkang semakin ketandusan modal dengan menuduhnya sengaja ‘mengenakan’ Muhammad Sanusi, terutama dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN), tidak lama lagi.

“Siapa yang buat laporan, Dewan DiRaja Selangor. Bolehkah mereka buat laporan tanpa perkenan Ke Bawah Duli Sultan Selangor? Tidak.

“Kemudian Ketua PAS Selangor mengadap Sultan Selangor minta ampun. Apa jawab Tuanku? Tuanku bertitah belum selesai, kemudian (Sanusi) ditangkap dan didakwa. Apa salah perdana menteri pula ni? Sudah tiada modalkah?” katanya ketika berucap di majlis perasmian Mini Karnival Usahawan Desa (KUD) dan Sentuhan Kasih Desa di Kompleks Stadium Sungai Besar, hari ini.

Anwar seterusnya mengingatkan kesemua pihak di dalam negara ini tidak mengulangi sikap yang sama, iaitu menyinggung institusi Raja-raja Melayu.

Begitu juga dengan ahli-ahli politik dalam usaha hendak memenangi hati pengundi PRN, menurut Anwar, mereka tidak boleh mengheret institusi diraja termasuk Yang di-Pertuan Agong sebagai modal berkempen.

Anwar berkata kedaulatan institusi beraja seharusnya dijunjung semua pihak.

“Kita semua ada Raja-raja dan Yang di-Pertuan Agong. Jangan samakan Raja dengan kita. Raja tak boleh cakap dan kempen macam ini, Raja jaga taraf baginda.

“Sebab itu kita kata kedaulatan ke bawah Duli Yang Maha Mulia, jadi jangan heret Raja dalam perbincangan kita,” ujarnya.

BBerkaitan

Latest articles