SEMENYIH: Kerajaan tetap berpendirian untuk melaksanakan kemasukan murid Tahun Satu pada usia enam tahun bermula 2027, meskipun berdepan bantahan segelintir pihak yang mempersoalkan tahap kesediaan kanak-kanak.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Malaysia tidak wajar terus ketinggalan apabila lebih 100 negara lain telah lama mengguna pakai sistem pendidikan tersebut.
Menurut beliau, perubahan itu penting bagi memastikan daya saing dan kualiti pendidikan negara berada pada landasan yang betul.
Beliau turut menyeru ibu bapa agar memberi kerjasama penuh dan membuat persediaan awal, memandangkan masih terdapat tempoh setahun sebelum pelaksanaan sistem itu bermula.
Anwar berkata alasan seperti kanak-kanak belum matang atau masih bergantung kepada susu tidak seharusnya menjadi penghalang kepada kemajuan pendidikan.
“Kita tidak boleh terus ke belakang hanya kerana segelintir pihak merungut. Kalau mahu negara maju, sistem pendidikan juga perlu bergerak ke hadapan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pembangunan Prasarana Awam Semenyih, hari ini.
Anwar menegaskan keputusan tersebut bukan wajar dipertikai kerana matlamat utamanya adalah untuk meningkatkan mutu pendidikan negara secara menyeluruh.
Beliau berkata cabaran terbesar ketika ini adalah memastikan semua pihak memberi fokus kepada usaha memperkukuh kualiti pendidikan.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri mendedahkan hasrat asal kerajaan adalah untuk melaksanakan sistem itu lebih awal, namun Kementerian Pendidikan mencadangkan tempoh penyesuaian selama setahun bagi mengelakkan reaksi negatif masyarakat.
Dalam pada itu, beliau turut menggesa jawatankuasa kampung dan pemimpin setempat agar memainkan peranan aktif menyebarkan kepentingan perubahan tersebut supaya ibu bapa lebih bersedia dan tidak terkejut dengan pelaksanaannya kelak.










