KUALA LUMPUR: Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos dikejarkan ke sebuah hospital swasta di ibu negara sejak Sabtu lalu selepas tahap kesihatannya semakin merosot berikutan kanser yang dihadapinya sejak tiga tahun lalu.
Memetik laporan Malaysia Gazette, Jamal, 54, memberitahu, sel kanser yang menyerang bahagian paru-parunya pada 2022 bagaimanapun kini merebak ke bahagian otak menyebabkan beliau sukar untuk bercakap dan makan secara normal.
“Pada mulanya saya berasa amat sakit di seluruh bahagian leher dan kepala selepas bersin ketika memasak di rumah.
“Saya rasa pedih sangat dan rasa tak selesa hingga terpaksa pergi ke KPJ Ampang Puteri untuk membuat pemeriksaan kesihatan.
“Selepas menjalani ujian pengimejan resonans magnet (MRI), doktor mendapati sel kanser yang sebelum ini di bahagian paru-paru kini merebak ke bahagian otak sebesar 3 sentimeter (cm),” katanya ketika seperti yang dilaporkan MalaysiaGazette, lewat malam tadi.
Pada 18 September 2022, Jamal pernah dikejarkan ke hospital kerana jatuh sakit secara mengejut selepas menghadiri program parti di Sungai Besar, Selangor.
Sebelum itu, Jamal beberapa kali dimasukkan ke hospital bagi menerima rawatan untuk kanser paru-paru tahap empat.
Isteri beliau, Datin Sri Nurhanizatul Shida Mat Hassan memberitahu, suaminya mengalami kesukaran bertutur secara normal selepas tiga hari dimasukkan ke hospital.
“Bila suap makanan, tiba-tiba makanan itu keluar balik, dia tak boleh kunyah dan kawal mulut dia sendiri, seolah-olah kena simptom strok, mulut dia rasa kebas.
“Kalau bertutur pun saya sukar faham sebab dia bercakap tak berapa jelas. Tapi Alhamdulillah setelah masuk hari kelima, keadaan dia ada perubahan,” katanya.
Dalam pada itu Jamal akan mendapatkan rawatan susulan penyakit kanser di Hospital Beacon, Petaling Jaya, hari ini.