KUALA LUMPUR: Kisah cinta Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mencuri perhatian ramai apabila beliau mengumumkan pertunangannya dengan personaliti terkenal, Bella Astillah dalam suasana cukup luar biasa iaitu di puncak Gunung Kinabalu.
Berita gembira itu dikongsikan sendiri oleh Syed Saddiq menerusi Instagram miliknya dengan kapsyen ringkas tetapi penuh makna, “I asked, she said yes.”
Menurut beliau, detik lamaran tersebut bukan sahaja romantik, malah mencabar apabila dilakukan ketika hujan lebat di puncak gunung tertinggi negara itu.
“Ini bukan pengakhiran cerita, ini permulaan kita… hari ini majlis pertunangan kami, doakan,” tulisnya, menggambarkan permulaan baharu dalam hubungan mereka.
Lebih menarik, hubungan yang bermula atas dasar kerjasama biasa akhirnya berkembang menjadi sesuatu yang lebih istimewa.
Syed Saddiq turut mendedahkan bahawa mereka sebelum ini berjaya mengumpul lebih RM6 juta bagi membantu rakyat melalui pelbagai inisiatif bersama.
Perkongsian tersebut segera dihujani ucapan tahniah daripada pelbagai pihak termasuk pemimpin dan selebriti tanah air seperti Datuk Seri Amirudin Shari, Datuk Fahmi Fadzil serta biduanita negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.
Sebelum ini, pasangan ini sering menjadi perhatian netizen apabila kerap tampil bersama dalam pelbagai aktiviti termasuk promosi pakaian raya, misi kebajikan dan juga pendakian Gunung Kinabalu.
Untuk rekod, Syed Saddiq masih bujang manakala Bella merupakan ibu tunggal kepada dua cahaya mata, Mohamed Ayden Adrean, 9, dan Ara Adreanna, 6, selepas berpisah dengan bekas suami pada 2024.










