Syed Saddiq Boleh Jumpa Pimpinan Kerajaan Jika Tak Puas Hati Isu Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR: Sebagai salah seorang Ahli Parlimen yang menyokong Kerajaan Perpaduan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman boleh bertemu dan bersemuka dengan pimpinan kerajaan untuk membincangkan rasa tidak puas hatinya terhadap perkembangan kes membabitkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Gesaan itu dibuat Naib Pengerusi DAP, Nga Kor Ming selepas Presiden Parti Ikatan Demoktarik Malaysia (MUDA) itu meluahkan rasa tidak puas hatinya terhadap perkembangan kes membabitkan Ahmad Zahid.

“Berkaitan pendirian MUDA, saya rasa baik supaya Syed Saddiq bincang dengan pucuk pimpinan Kerajaan Perpaduan.

“Beliau merupakan antara Ahli Parlimen menyokong kerajaan, maka, selain menerusi media, beliau perlu bincang dengan pucuk pimpinan itu lebih profesional,” katanya pada sidang media di Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) sempena Penubuhan Majlis Ekonomi Ekonomi Kitaran Bagi Sisa Pepejal, di Putrajaya, hari ini.

Terdahulu Syed Saddiq membuat kenyataan bahawa MUDA tidak teragak-agak untuk menilai semula kedudukan parti itu dalam kerajaan perpaduan, selepas mahkamah melepaskan Ahmad Zahid tanpa membebaskannya atas 47 pertuduhan rasuah.

Sementara itu, seperti pimpinan DAP yang lain, Kor Ming yang juga menteri Perumahan Kerajaan Tempatan meminta bekas Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun memberi penjelasan berhubung tindakan pendakwaan memberhentikan prosiding yang mendorong kepada keputusan melepas tanpa bebas Ahmad Zahid.

“Saya rasa yang perlu jawab adalah mantan peguan negara Idrus, semua pihak wajib faham Perlembagaan 145(3) telah memberi kuasa mutlak, budibicara mutlak kepada Peguam Negara sama ada untuk buat pertuduhan, penarikan pertuduhan ataupun apa-apa keputusan berkaitan kes jenayah.

“Polis hanya punyai kuasa siasat, yang ada kuasa dakwa Peguam Negara, sepatutnya dijawab Idrus mengapa dia tarik balik, saya rasa itu Peguam Negara kena jawab,” ujarnya.

BBerkaitan

Latest articles