Syed Saddiq Bebas Sabitan Seleweng Dana Armada

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan rayuan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman terhadap sabitan dan hukuman kerana bersubahat melakukan pecah amanah, salah guna harta serta pengubahan wang haram membabitkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA).

Sehubungan itu Syed Saddiq dibebas dan dilepaskan dari sabitan terhadap empat pertuduhan yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi sebelum ini.

Keputusan diumumkan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan iaitu Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin pada kira kira jam 10.30 pagi ini.

“Kami mendapati bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan pertuduhan bersubahat terhadap perayu (Syed Saddiq).

“Kami juga mendapati bahawa pihak pendakwaan gagal mengemukakan bukti dan fakta yang boleh dipercayai bagi menyokong pertuduhan di bawah Seksyen 403 (penyelewengan harta).

“Kami juga mendapati bahawa pertuduhan di bawah AMLA (pengubahan wang haram) tidak dapat dikekalkan.

“Oleh itu, perayu telah dibebaskan dan dilepaskan daripada semua pertuduhan,” kata Hakim Noorin semasa membacakan keputusan.

Mahkamah turut mengarahkan wang jaminan dan passport perayu dikembalikan.

Peguam Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden dan Datuk Hisyam Teh Poh Teik mewakili Syed Saddiq selaku perayu manakala pihak pendakwaan diwakili, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Farah Ezlin Yusop Khan.

Pada 9 November 2023, Syed Saddiq memfailkan rayuan bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan serta denda RM10 juta oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, selepas didapati bersalah atas empat pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah jenayah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Armada.

Syed Saddiq, 32, didakwa bersubahat bersama bekas Penolong Bendahari ARMADA, Rafiq Hakim Razali, yang diamanahkan dengan dana ARMADA berjumlah RM1 juta, untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu.

Perbuatan terbabit didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2, di sini pada 6 Mac 2020.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Syed Saddiq didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri, iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang berkenaan.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu didakwa melakukan perbuatan terbabit di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya, di sini antara 8 hingga 21 April 2018 mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Syed Saddiq juga berdepan dua pertuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram, iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, hasil daripada aktiviti haram.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018 mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Bagi kesalahan itu, hukuman diperuntukkan mengikut Seksyen 4(1) akta sama, iaitu penjara maksimum 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram, jika sabit kesalahan.

BBerkaitan

Latest articles