PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, kerajaan dibawah pimpinan beliau tidak akan sama sekali membenarkan pembolotan kekayaan oleh tokoh politik dan korporat dengan “menghisap darah” pesawah padi yang miskin.
Anwar berkata, beliau telah membuat teguran dan perbincangan terhadap Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bulkhary supaya mengurangkan monopoli beras oleh Padiberas Nasional Bhd (BERNAS) dalam negara.
Susulan daripada itu, Syed Mokhtar telah bersetuju untuk membuat pembayaran sebanyak RM10 juta pada bulan ini kepada pesawah padi yang masih terhimpit dalam kemiskinan.
“Kita tak boleh membebankan seseorang (Syed Mokhtar) sehingga kita dapat teliti sama ada keuntungan dan pulangan dia berpatutan.
“Oleh tetapi, saya telah gesa untuk dia lakukan peruntukkan sekarang (bulan ini) sebanyak RM10 juta kepada pesawah miskin dan mulai tahun depan, RM50 juta peruntukkan kepada pesawah miskin dari BERNAS.
“Kerajaan di bawah pimpinan saya tidak akan lagi mengizinkan cara pembolotan kekayaan oleh tokoh-tokoh politik dengan begitu mudah “menghisap darah” pesawah padi yang miskin,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Khas Kabinet di sini, hari ini.
Anwar memberitahu, Syed Mokhtar memiliki 92 peratus saham BERNAS yang dibeli beliau daripada Datuk Seri Shahidan Kassim dan ahli perniagaan Tan Boon Seng pada 2014.
Ujar beliau juga, import beras perlu dilakukan dengan adil memandangkan kebenaran itu diberikan kepada BERNAS bukannya Syed Mokhtar.