Peserta rancangan realiti keagamaan, Syed Shah Iqmal dikatakan akan dibebaskan dalam masa terdekat selepas wakilnya selesai membayar ikat jamin berjumlah RM35,000.
Pembayaran ikat jamin pertuduhan cabul sebanyak RM5,000, bagi pertuduhan seks luar tabii RM20,000 manakala bagi rogol RM10,000 akhirnya telah dibayar oleh abang dan pengurus Syed.
Perkara itu disahkan sendiri oleh peguam Syed iaitu Syed Amirul Syed Edros.
“Hari ini (semalam) penjamin sudah selesai bayaran jamin. Bagaimanapun, mahkamah akan maklumkan kemudian mengenai tarikh bila Syed Shah Iqmal akan dapat keluar,” ujarnya.
Sebelum ini, pendakwah selebriti yang dikenali sebagai Syed Shah Iqmal telah didakwa di mahkamah atas pertuduhan mencabul, melakukan seks luar tabii dan merogol.
Walaupun begitu, tertuduh tidak mengaku bersalah dan meminta supaya dibicarakan.
Syed terpaksa ‘bermalam’ di pusat tahanan reman sementara yang terletak di Beranang selama lima hari sejak Khamis lalu disebabkan wang ikat jamin gagal dijelaskan sebelum pejabat tutup.
Sebelum dibebaskan Syed diwajibkan untuk melakukan ujian saringan Covid-19.
Selain itu, mahkamah menetapkan syarat tambahan supaya tertuduh tidak mengganggu mangsa.