Sebuah syarikat penerbangan Amerika Syarikat (AS) telah memecat seorang pekerja Muslim selepas tidak membenarkannya menukar syif untuk menunaikan solat Jumaat.
Justin Mavins, atau dikenali sebagai Dauwd Mavins, telah mula bekerja untuk Southwest Airlines di Lapangan Terbang Antarabangsa Baltimore-Washington pada 28 November 2022. Ketika itu, Dauwd merupakan seorang pelatih dan perlu menamatkan tempoh percubaan selama enam bulan.
Dia ditugaskan bekerja pada hari Selasa hingga Sabtu dan diberi tiga hari cuti peribadi.
Sebelum menerima surat pemecatan pada 28 Disember 2022, Dauwd telah meminta pengurusnya untuk menukar syif pagi pada hari Jumaat kepada syif petang supaya dia dapat menghadiri solat Jumaat.
Sementara menunggu keputusan, dia terlebih dahulu menggunakan cuti peribadi untuk menunaikan solat Jumaat. Setelah itu, pada 21 Disember, permintaannya untuk menukar syif ditolak.
Keesokan harinya, syarikat penerbangan itu mengeluarkan notis keadaan kecemasan di mana lebih 16,700 penerbangan dibatalkan seluruh negara atas pelbagai faktor, termasuk ribut salji.
Pihak syarikat turut menghantar memo mengatakan, sesiapa yang gagal bekerja dalam syif tetap mereka akan ditamatkan perkhidmatan dan syarikat akan menolak permintaan untuk tidak hadir.
Dauwd kemudiannya menggunakan cuti peribadi untuk menunaikan solat Jumaat pada minggu seterusnya dan pada tarikh 28 Disember, beliau telah ditamatkan perkhidmatan.
Emel pengurusnya memaklumkan, “Saya dukacita untuk memaklumkan kepada anda bahawa pemerhatian terhadap kehadiran anda telah menyebabkan kami membuat kesimpulan bahawa anda tidak sesuai untuk pekerjaan ini, dan bahawa pekerjaan anda ditamatkan akibat kegagalan anda untuk lulus tempoh percubaan.”
Menurut Council on American-Islamic Relations (Cair), Southwest menafikan Dauwd ‘penyesuaian agama yang munasabah sekali gus menamatkan pekerjaannya ekoran keperluan Dauwd untuk penyesuaian keagamaan yang melanggar Tajuk VII Akta Hak SIbil 1964, seperti yang dipinda, dan Akta Amalan Pekerjaan Adil Maryland.”