KUALA LUMPUR: Sebuah syarikat logistik yang terlibat dalam nahas maut pada 23 Disember tahun lalu sehingga mengorbankan tujuh nyawa dihadapkan ke Mahkamah Majistret Alor Gajah atas pertuduhan membawa muatan melebihi had yang dibenarkan.
Syarikat terbabit, Yinson Transport (M) Sdn. Bhd., yang diwakili Pengurus Operasi, Ng Chee Keong, 36, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Dr. Teoh Shu Yee.
Menurut pertuduhan, syarikat itu didakwa melanggar syarat lesen dengan membawa muatan serbuk simen seberat 68,260 kilogram (kg), iaitu lebihan 16,260 kg daripada had yang dibenarkan sebanyak 52,000 kg.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kilometer 204, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan, sekitar jam 8.30 malam pada hari kejadian.
Jika sabit kesalahan, syarikat berkenaan boleh dikenakan denda minimum RM1,000 dan maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali, mengikut Seksyen 57(3) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715). Selain itu, kenderaan yang terlibat juga boleh dilucutkan hak mengikut Seksyen 80(4) akta yang sama.
Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Asri Abd. Rahman Sidik, memohon tarikh baharu untuk serahan dokumen serta waran tangkap sekiranya syarikat gagal hadir ke mahkamah. Mahkamah kemudian menetapkan 8 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Sebelum ini, Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka, Muhammad Firdaus Shariff mengesahkan bahawa lori berkenaan membawa muatan berlebihan, yang menyebabkan kerosakan pada tayarnya sehingga tercabut.
Nahas tragis itu berlaku sekitar jam 8.45 malam, melibatkan lima kenderaan iaitu sebuah bas persiaran yang membawa 27 penumpang, sebuah lori, sebuah treler, sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Estima, dan sebuah Perodua Bezza.
Akibat kemalangan itu, tujuh individu maut, termasuk pemandu bas, Noorisnien Khamid, 56, dan seorang penumpang warga Singapura, Lamrah Asid Ali, 66.
Turut terkorban lima sekeluarga yang menaiki Toyota Estima, iaitu Khairul Izwan Mazupi, 32; Fadzlenna Ramli, 32; Ramli Ab. Wahab, 66; bayi berusia dua tahun, Muhammad Umar Khairul Ikhwan dan Fauziah Jaafar, 69.
Kejadian berlaku apabila lori yang dipandu seorang lelaki berusia 31 tahun dalam perjalanan dari arah utara ke selatan mengalami kegagalan tayar hadapan sebelah kanan.
Tayar tersebut tercabut dan berada di lorong tengah lebuh raya, menyebabkan bas persiaran melanggarnya sebelum hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan.
Seramai 33 mangsa lain turut mengalami kecederaan dalam tragedi itu.