Syahir Dakwa Ekonomi Madani Tiada Identiti, Rafizi Tempelak Hujah Tak Bernas, Jawapan Berpusing

KUALA LUMPUR: Debat Model Baharu Ekonomi Malaysia yang menampilkan
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dan Ahli Parlimen Bachok, Mohd. Syahir Sulaiman menerima pelbagai reaksi dalam kalangan penonton dan pengguna media sosial.

Debat berkenaan disiarkan di Astro Awani dan RTM pada jam 9.30 malam tadi.

Namun suasana hangat dan panas melatari debat kedua-dua pemimpin politik PKR dan PAS itu apabila tampil dengan hujah dan alasan masing-masing.

Rafizi juga mempersoal tindakan Mohd. Syahir yang mengambil masa agak lama apabila membaca beberapa petikan, selain mendakwa kerangka Ekonomi Madani dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mempunyai identiti sendiri.

Dakwa Ahli Parlimen Bachok itu, Ekonomi Madani mempunyai banyak persamaan dengan dokumen dari Bank Dunia, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) serta Model Ekonomi Baru (MEB) yang pernah dibentangkan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Saya dapati terlalu banyak persamaan, perkataan ke perkataan, saya tak kata Anwar dan Rafizi meniru, tetapi saya kata banyak yang sama, persoalannya apakah kiblat dasar ekonomi Anwar dan Rafizi?

“Kita kena ada identiti, model kena ada hala tuju, nak pergi mana, kena ada identiti, kena patriotik. Macam saya, matlamatnya dan terasnya datang dari hati saya sendiri, saya rujuk kepada kestabilan nasional melalui dasar ekonomi serampang dua mata iaitu pembasmian kemiskinan dan penstrukturan semula masyarakat,” kata Mohd. Syahir.

Bagaimanapun Rafizi menyindir Mohd. Syahir yang didakwanya memusing soalan moderator dan tidak memberi jawapan terus.

“Saya pelik kita berbahas ke kelas membaca hari ini, sebab itu saya ajak berbahas sebab ada rekod daripada orang Presiden PAS. Sekarang orang paling pandai dalam PAS pun moderator tanya soalan lain, dia tak jawab tapi pusing-pusing,” kata Rafizi.

Rafizi menjelaskan, dasar kerajaan ketika ini mempunyai beberapa persamaan dengan MEB yang dilancarkan Najib pada 2010 namun ia ditambah baik selepas mengenal pasti punca kepada kegagalan model terdahulu.

“Kita perlu pelajari dan elak cara pentadbiran terdahulu melonjakkan kegiatan ekonomi ke arah nilai tinggi dengan ambil jalan ke arah projek mega, sebab itu, kita ada beberapa projek skala besar termasuklah MRT, ECRL dan 1MDB.

“Akhirnya kita tahu sebenarnya tak menyelesaikan masalah struktur tapi hanya kosmetik untuk memberi gambaran bahawa negara kita sedang rancak ekonomi dan sekarang tanggung hutang,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan persekutuan ketika ini memastikan projek swasta yang dilaksanakan adalah berdaya saing dan tidak melibatkan peruntukan rakyat.

Malah, beliau memaklumkan, MEB 2010 banyak menggunakan perunding luar sekali gus mengetepikan khidmat penjawat awam.

“Sebab itu pendekatan kita cukup berbeza, setiap satu kerangka diluncurkan setakat ini baik Ekonomi Madani, Pelan Peralihan Tenaga Baharu, baik Kajian Separuh Penggal tidak ada satu pun yang dibuat oleh perunding.

“Jadi Syahir cuba memberi persepsi ini seolah-olah ditiru. Sila bercakap kepada penjawat awam yang bertungkus lumus membuat kerja ini.

“Ada juga beberapa model ekonomi pada 2010 yang tidak mengambil kira beberapa perkara seperti gaji rendah, model itu langsung tak menyentuh mengenai gaji, sebab itu 12 tahun masalah gaji makin buruk. Sebab itulah pendekatan kita memastikan kerajaan campur tangan terus masalah gaji, ia bukan masalah sampingan. Ia masalah pokok yang perlu ditangani dengan cepat, ada perbezaan jelas, pendekatan telah dilaksanakan sekarang kerana telah kita ambil teladan daripada kegagalan model 2010,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles