Kerajaan Sweden mengakui bahawa mereka gagal melindungi warga emas mereka daripada dijangkiti wabak Covid-19.
Menteri Kesihatan dan Hal Ehwal Sosial negara itu, Lena Hallengren berkata ia adalah serius dan menyifatkannya satu kegagalan masyarakat seluruhnya.
Sweden sehingga Sabtu, merekodkan 3,220 kes kematian akibat jangkitan Covid-19, dengan 90 peratus daripada jumlah itu berusia 70 tahun ke atas.
Statistik Lembaga Kesihatan dan Kebajikan Sweden pula menunjukkan daripada jumlah berkenaan, separuh daripada kes kematian yang dilaporkan itu membabitkan pusat penjagaan warga emas manakala suku pula penjagaan dari rumah.
“Kita gagal untuk melindungi warga emas kita. Ini serius dan kegagalan bagi masyarakat keseluruhannya
“Kita perlu belajar daripada pengalaman ini kerana perjuangan kita memerangi pandemik Covid-19 masih belum berakhir,” katanya pada stesen televisyen negara itu.
Negara Sweden merupakan satu dari negara di benua Eropah yang mengambil pendekatan lembut bagi mengatasi Covid-19 sehingga mendapat perhatian global tapi kini terpaksa mengaku gagal melindungi warga emas terutamanya di pusat penjagaan yang disediakan kepada golongan itu.
Malah, media di negara itu sejak kebelakangan ini melaporkan kakitangan di pusat penjagaan warga emas terpaksa bertugas tanpa kelengkapan perlindungan diri yang sempurna.
Malah, ada juga yang enggan bekerja selain digalakkan bekerja dari rumah jika ada simpton awal, menyebabkan pusat penjagaan warga emas kekurangan petugas.
Difahamkan, ada petugas terpaksa juga bekerja walaupun ada menunjukkan gejala awal virus sehingga berpotensi menjangkiti warga emas, manakala ada juga warga emas yang dijangkiti virus berkenaan ketika dimasukkan ke dalam hospital bagi rawatan lain dan kemudiannya dihantar semula ke pusat penjagaan dan akhirnya menjangkiti orang lain. – TRI