BACHOK: Seorang lelaki yang dipercayai memukul anak saudaranya berusia tujuh tahun dengan tukul hingga parah, ditemui mati tergantung di Pantai Melawi, petang semalam.
Suspek berusia 46 tahun itu dijumpai tidak bernyawa pada sebatang pokok rhu, kira-kira tiga kilometer dari lokasi kejadian di sebuah rumah kedai di Jelawat.
Timbalan Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Mohd Azrie Sulaiman, berkata mayat lelaki itu kini sedang diuruskan oleh pasukan forensik di lokasi penemuan.
“Ketika ini, mangsa kanak-kanak masih dalam keadaan kritikal dan menerima rawatan. Perkembangan lanjut kes akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya ketika dihubungi.
Terdahulu, sekitar jam 5.15 petang, kanak-kanak malang itu dilaporkan mengalami kecederaan parah di kepala selepas dipercayai dipukul menggunakan tukul oleh bapa saudaranya sendiri.
Selepas kejadian, suspek melarikan diri sebelum ditemui tergantung tidak lama kemudian di pantai berkenaan.