Suspek Culik Remaja Ditembak Mati, Polis Rampas Wang, Barang Kemas

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki berusia 21 tahun, dipercayai suspek utama dalam kes penculikan seorang remaja perempuan di Seremban, ditembak mati oleh polis dalam kejadian di Bandar Bukit Tinggi, Klang awal pagi tadi.

Menurut Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) Bukit Aman, Datuk Fadil Marsus, suspek bertindak agresif ketika cuba ditahan, termasuk memandu secara melawan arus dan melanggar kenderaan polis dalam usaha meloloskan diri.

“Dalam kenderaan suspek, polis menemui sepucuk pistol dan parang. Barang-barang lain yang dirampas masih menunggu pengesahan daripada pihak forensik,” katanya.

Suspek disyaki menculik seorang gadis berusia 16 tahun pada 10 April lalu di Seremban, dengan kumpulan penjenayah menuntut wang tebusan sebanyak RM2 juta daripada keluarga mangsa.

Mangsa kemudiannya ditinggalkan di kawasan Sendayan pada malam 12 April.

Fadil berkata, hasil operasi lanjut, beberapa tangkapan telah dibuat dan sejumlah wang tunai RM280,000 bersama barang kemas turut berjaya dirampas.

“Berdasarkan maklumat dan tangkapan, kes ini boleh dianggap selesai. Jumlah wang tebusan yang terlibat dan rampasan penuh akan diumumkan dalam masa terdekat,” katanya sambil mengesahkan suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

BBerkaitan

Latest articles