Surat Peletakan Jawatan Hamzah Palsu

KUALA LUMPUR: Pejabat Ketua Pembangkang malam tadi mengesahkan bahawa surat peletakan jawatan Datuk Seri Hamzah Zainudin yang tular di media sosial adalah palsu dan tidak pernah dikeluarkan oleh pihak berkenaan.

Pengesahan itu dibuat oleh pegawai di pejabat tersebut ketika dihubungi bagi menafikan kesahihan dokumen yang mencetuskan kekeliruan dalam kalangan orang ramai.

Terdahulu, dua surat yang menggunakan kepala surat Pejabat Ketua Pembangkang dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) tersebar secara meluas, mendakwa Hamzah kononnya melepaskan jawatan sebagai Ketua Pembangkang.

Kandungan surat palsu itu menyatakan keputusan berkenaan dibuat susulan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN), selain mengambil kira realiti serta keperluan politik semasa.

Malah, surat berkenaan turut mendakwa keputusan tersebut dibuat selepas pertimbangan menyeluruh demi memastikan kesinambungan kepimpinan dan kestabilan PN, seiring dengan hala tuju baharu di bawah pengerusi yang bakal dilantik.

Bagaimanapun, dakwaan itu dinafikan sepenuhnya oleh pihak Pejabat Ketua Pembangkang.

Untuk rekod, Muhyiddin sebelum ini mengesahkan peletakan jawatannya sebagai Pengerusi PN berkuat kuasa 1 Januari tahun depan.

Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali turut mengumumkan akan melepaskan jawatan sebagai Setiausaha Agung PN dan Pengerusi Badan Perhubungan PN Selangor berkuat kuasa 1 Januari 2026.

Selain itu, beberapa pimpinan PN negeri turut mengambil langkah sama, antaranya Pengerusi PN Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Pengerusi PN Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal serta Pengerusi PN Negeri Sembilan, Mohamad Hanifah Abu Baker.

BBerkaitan

Latest articles