Surat PAS Disorok? – Wan Saiful Persoal Isu Peletakan Jawatan Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan membangkitkan persoalan sama ada wujud usaha menyembunyikan sepucuk surat daripada PAS kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas Presiden BERSATU itu mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN).

Menurut Wan Saiful, surat berkenaan dipercayai dihantar oleh PAS sebagai penghargaan terhadap jasa Muhyiddin sepanjang lima tahun menerajui PN, namun secara tidak langsung boleh ditafsir sebagai penerimaan terhadap keputusan beliau berundur.

Justeru, beliau mempersoalkan sama ada surat itu sengaja “disimpan” buat sementara waktu bagi memberi ruang kepada penyokong Muhyiddin melobi parti-parti komponen PN supaya menolak peletakan jawatan tersebut.

“Mungkinkah penyokong tegar di sekeliling Muhyiddin menasihatkan supaya surat ini disembunyikan dahulu, sementara mereka melobi parti komponen agar menolak peletakan jawatan itu?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Muhyiddin sebelum ini dilaporkan melepaskan jawatan Pengerusi PN berkuat kuasa 1 Januari lalu, sekali gus mencetuskan spekulasi mengenai penggantinya.

Antara nama yang disebut ialah Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Dalam pada itu, Wan Saiful turut mempersoalkan sama ada Muhyiddin wajar mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) PN yang akan datang, memandangkan agenda utama mesyuarat itu adalah mengesahkan peletakan jawatan beliau sendiri.

Menurutnya, situasi itu boleh mencetuskan konflik kepentingan.

“Mesyuarat MT PN dijangka berlangsung tidak lama lagi dan agenda utama pastinya soal pengganti Pengerusi. Maka, pengesahan peletakan jawatan Muhyiddin sepatutnya jadi agenda pertama. Jadi, wajar atau tidak beliau mempengerusikan mesyuarat yang membincangkan kedudukannya sendiri?” soalnya.

Wan Saiful mencadangkan agar salah seorang Timbalan Pengerusi PN mempengerusikan mesyuarat tersebut.

Beliau juga berpandangan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Datuk Dr Radzi Jidin tidak perlu hadir kerana masing-masing telah meletak jawatan sebagai Setiausaha Agung dan Ketua Penerangan PN, dan peletakan jawatan mereka tidak memerlukan pengesahan MT.

“Jika Muhyiddin masih hadir, selepas peletakan jawatannya disahkan, beliau perlu keluar sebelum agenda seterusnya. Lebih baik notis mesyuarat dikeluarkan oleh Timbalan Setiausaha Agung tanpa menjemput Mohamed Azmin dan Radzi,” katanya.

Beliau turut menggesa Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) memantau rapat mesyuarat tersebut supaya semua prosedur dipatuhi.

Katanya, beliau telah menghantar surat rasmi kepada Ketua Pengarah RoS, Datuk Mohd Zulfikar Ahmad bagi memastikan tiada pelanggaran peraturan berlaku.

“Mereka yang mahu Muhyiddin kekal dilihat terdesak. Sebab itu saya minta RoS pantau supaya semuanya berjalan mengikut perlembagaan dan prosedur,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles