KUALA LUMPUR: Pegawai khas kepada penyandang Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr Shamsul Annuar, Datuk Azizan Md Zin membuat laporan polis berhubung surat aku janji palsu yang tular.
Azizan berkata, laporan polis itu dibuat bagi membolehkan polis untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh berhubung kes berkenaan.
“Saya mohon polis siasat pihak yang bertanggungjawab mencipta dan menyebarkan surat aku janji palsu itu dan membawa mereka ke muka keadilan, katanya.
Beliau berkata, surat aku janji tersebut satu fitnah dan tohmahan yang bertujuan untuk menjatuhkan Shamsul Anuar.
“Saya percaya surat berkenaan yang sedang tular itu adalah satu tohmahan serta fitnah jahat untuk menjejaskan nama baik Datuk Seri (Shamsul Anuar), Ahmad Zahid dan parti BN (Barisan Nasional),” katanya selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini, hari ini.
Sejak semalam, tular satu surat didakwa surat ‘Aku Janji’ parti itu menyatakan calon bertanding wajib menyokong Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjadi Perdana Menteri sekiranya BN menang pada PRU15.
Surat aku janji yang tular menggunakan kepala surat UMNO itu turut tertera nama Shamsul Anuar.