Surat Ada Kemungkinan Tersalah Hantar, Najib Mahu Jumpa Raja Abdullah Sendiri

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini dimaklumkan bahawa Datuk Seri Najib Razak mahu merahsiakan bantuan kewangan yang dikatakan diterima daripada keluarga diraja Saudi.

Bekas Perdana Menteri itu juga memberitahu dirinya mahu berjumpa sendiri Almarhum Raja Abdullah secara peribadi sebagai tanda terima kasih atas sumbangan kewangan itu, dan bukan secara bertulis.

“Surat boleh jatuh ke tangan yang salah,” kata Najib ketika ditanya peguam, Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin, mengapa beliau tidak menghantar nota terima kasih kepada Raja Abdullah atau keluarga diraja Saudi.

Ketika memberi keterangan dalam kes 1MDB, Najib ketika pemeriksaan balas kata beliau menerima USD20 juta pada 2011 daripada ‘Putera Faisal’, yang didakwanya adalah ahli keluarga diraja Saudi.

Beliau juga kata beliau tidak mendesak Faisal mengenai kelewatan bantuan kewangan yang dijanjikan.

“Terpulang pada mereka bila mahu menyampaikan (wang). Surat itu tidak menyatakan bila (dana akan didepositkan),” katanya.

Najib turut memberi keterangan bahawa bekas menteri, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, kembali selepas meletak jawatan untuk ikrar sokongan.

Beliau menegaskan Husni, yang berkhidmat sebagai menteri kewangan II, meletak jawatan pada 2016 kerana tidak berpuas hati dengan cadangan pemindahan ke kementerian lain.

“Beliau (Husni) merasakan dia boleh menyumbang sebagai calon (Barisan Nasional) untuk Tambun (dalam PRU 2018),” kata Najib.

Bagaimanapun Husni, yang dicalonkan di Parlimen Tambun tewas kepada Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dari Bersatu, yang ketika itu komponen Pakatan Harapan.

“Selepas kalah dia tiba-tiba jadi masam muka,” kata Najib.

Perbicaraan di depan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

BBerkaitan

Latest articles