Suntik semangat patriotik anak muda

Kuala Lumpur: Yayasan Metamorphosis turun padang bagi mendekati golongan muda termasuk mat rempit untuk menyuntik semangat patriotik dalam kalangan mereka sempena Bulan Kebangsaan.

Presidennya, Datuk Razalif Zain berkata, kira-kira 300 hingga 400 anak muda termasuk mat rempit di sekitar Lembah Klang dijemput menyertai program santai berkenaan yang diadakan di restoran di Jalan Ipoh, malam tadi.

“Malam ini, kita mengadakan program santai bersama anak muda bagi mendekati golongan berkenaan termasuk memasang bendera pada motosikal mereka sempena bulan Kemerdekaan.

“Semua anak muda yang hadir malam ini dijemput melalui hebahan mesej yang diuar-uarkan di media sosial sebelum ini,” katanya ketika ditemui pada program berkenaan.

Razalif berkata, pihaknya juga akan menganjurkan konvoi bermotosikal bersama anak muda yang dijangka disertai kira-kira 1,000 peserta pada 27 Ogos ini.

“Program berkenaan akan diadakan bermula jam 8 pagi hingga 6 petang dari Jalan Duta, di sini, menuju ke Tambun, Perak dengan beberapa intipati program termasuk beramah mesra dengan anak muda yang turut serta.

“Kita akan berkerjasama dengan beberapa agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk mengawal keselamatan konvoi berkenaan nanti,” katanya.

Beliau berkata, penganjuran program berkenaan adalah untuk memberi kesedaran terutama kepada mat rempit supaya tidak terbabit dengan kegiatan itu.

“Kita mahu mereka sedar terhadap kesalahan yang dilakukan dan mahu mengelak mereka berada di jalan raya untuk merempit melalui penganjuran program-program terbabit.

“Sebelum ini, kita ada adakan program-program sebegini. Namun, ini adalah kali pertama kita adakan selepas dua tahun penularan Covid-19,” katanya.

Latest articles

Related articles

spot_img