KUALA LUMPUR – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, menitahkan agar SIS Forum (Malaysia) tidak lagi menggunakan istilah “Sisters in Islam” dalam sebarang bentuk penerbitan di mana-mana platform yang dikaitkan dengan syarikat itu.
Titah baginda sebagai Ketua Agama Islam Negeri Selangor itu dikeluarkan susulan keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini yang membatalkan pemakaian fatwa Selangor ke atas SIS Forum, namun mengekalkannya terhadap individu.
Menurut kenyataan yang dikongsikan di Facebook Selangor Royal Office, baginda menzahirkan kebimbangan bahawa penggunaan perkataan “Islam” oleh SIS Forum boleh mengundang kekeliruan dalam kalangan umat Islam dan tidak wajar digunakan sewenang-wenangnya untuk kepentingan korporat.
“Baginda menegaskan bahawa penyalahgunaan perkataan ‘Islam’ dalam nama dan penerbitan SIS Forum (Malaysia) boleh menimbulkan kekeliruan di kalangan masyarakat Islam,” menurut kenyataan tersebut.
Sultan Sharafuddin juga meluahkan rasa kecewa dan dukacita terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengehadkan pemakaian fatwa 31 Julai 2014 hanya kepada individu, dan bukan kepada syarikat atau pertubuhan seperti SIS Forum.
Turut menyuarakan kekecewaan ialah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang menyifatkan keputusan majoriti Mahkamah Persekutuan itu sebagai campur tangan dalam urusan hukum syarak.
Pengerusi MAIS, Senator Datuk Seri Salahuddin Saidin berkata, keputusan itu berisiko membuka ruang kepada pihak yang tidak bertanggungjawab menggunakan nama Islam untuk melindungi penyebaran fahaman bertentangan dengan ajaran Islam.
“Jika perkara ini dibiarkan berterusan, ia akan mengelirukan dan boleh menjejaskan akidah umat Islam,” katanya dalam kenyataan media.
MAIS turut menegaskan komitmennya untuk meneliti langkah susulan bersama Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri serta Majlis Agama Islam Negeri-Negeri dan institusi Raja-Raja Melayu bagi memperkasa perundangan Islam di negara ini.