Sultan Selangor Titah Mahu Selangor Kembali Jadi Negeri Maju Sebelum Akhir Hayatnya

KUALA LUMPUR: Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah Selangor perlu menjadi proaktif dan tampil sebagai sebuah negeri maju dalam segenap aspek sama ada ekonomi, perpaduan mahupun pembangunan sebelum akhir hayatnya.

Terdahulu Baginda berkenan mencemar duli ke Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Ikrar Aku Janji serta Pengurniaan Watikah Pelantikan Ahli Majlis Mesyuarat (Exco) Kerajaan Negeri Selangor.

Hadir sama berangkat mencemar duli, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Sebelum tu, Baginda turut berkenan melantik Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari untuk penggal yang baru.

“Usia Beta telah menjangkau 78 tahun pada tahun ini dan menjadi harapan dan impian Beta, agar sebelum Beta menutup mata dan dijemput Ilahi, Beta dapat melihat Selangor bangkit semula dan maju ke hadapan dari segenap sudut.

“Baik dari segi pembangunan fizikal dan kerohanian, pertumbuhan ekonomi mampan, perpaduan rakyat berbilang bangsa, rakyatnya hidup selesa serta kemakmuran berpanjangan,” titah Baginda di Istana Alam Shah, di sini, hari ini.

Sultan Selangor juga mahu pentadbiran Amirudin memberi penekanan kepada masalah banjir yang sering melanda Selangor hingga menjejaskan kehidupan rakyatnya.

“Rancangan jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang perlu segera dilaksanakan,” titah Tuanku.

Dalam masa yang sama , kepimpinan Amirudin diingatkan dari segi cabaran Selangor hari ini yang dilihat mula ketinggalan dari segi pelaburan dan nilai eksport barangan berbanding Pulau Pinang, Johor dan Sarawak.

“Kejatuhan ini mungkin tanpa kita sedari dan kita dilihat gagal untuk segera mengatasinya.

“Ahli-ahli Yang Berhormat perlu sedar dengan fakta dan realiti ini, satu tindakan segera perlu diambil bagi mengelakkan ia daripada terus menjejaskan reputasi Selangor sebagai penyumbang utama ekonomi Malaysia.

“Beta menaruh harapan tinggi kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian bagi memberi perkhidmatan cemerlang dengan turun ke padang bagi melihat sendiri keadaan pembangunan yang dirancang dan sedang berjalan,” titah Baginda.

Titah baginda lagi, ahli Dewan Negeri Selangor perlu berhenti berpolitik sepanjang masa dan kembali memberi tumpuan kepada memberi perkhidmatan kepada rakyat.

“Cukup-cukuplah kita berpolitik, rakyat dah penat, Beta pun dah penat dengar.

“Bangunlah Ahli-ahli Yang Berhormat semua, fikirkanlah masa depan negeri, negara dan masa depan anak cucu kita,” titah Baginda lagi.

BBerkaitan

Latest articles